SAUDARA PENGARANG, PEMBINAAN sesuatu sistem kereta api perlu memenuhi kehendak komersial dan sosial dalam jangka masa panjang.
![]() |
|
JAJARAN perkhidmatan kereta api di Semenanjung Malaysia sedia ada termasuk rancangan menghubungkan Pulau Pinang dengan Pantai Timur. – GAMBAR IHSAN PEMBACA
|
Terdapat dua piawaian tolok (gauge) rel bagi infrastruktur asas yang diguna pakai di Malaysia iaitu Tolok Meter dan Tolok Standard.
Tolok Standard diguna pakai di seluruh dunia manakala penggunaan Tolok Meter adalah terhad di beberapa negara termasuk Malaysia.
Hanya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) beroperasi atas landasan Tolok Meter sementara Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) sudah beroperasi atas landasan Tolok Standard.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur juga dirancang menggunakan Tolok Standard.
Sebuah pelan yang dipersetujui oleh 10 negara ASEAN pada tahun 2000 dinamakan sebagai Singapore-Kunming Rail Link (SKRL) untuk menggunakan Tolok Meter bagi menghubungkan Singapura merentasi Semenanjung Tanah Melayu melalui Johor Bahru, Seremban, Kuala Lumpur, Ipoh, Butterworth dan tamat di Padang Besar, Perlis.
Laluan rel itu akan menyeberangi sempadan Thailand ke Bangkok seterusnya berkembang merangkumi sebahagian besar negara ASEAN dengan Bangkok sebagai hab utama kereta api rantau ini.
Hampir 80 peratus jajaran sektor Malaysia sudah siap dan beroperasi dari Gemas ke Padang Besar dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 apabila jajaran Gemas-Johor Bahru siap dibina.
Projek ECRL adalah jajaran baharu tetapi mempunyai perbezaan dari segi kegunaan Tolok Standard, menjadikannya yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi sistem trafik bercampur.
ECRL telah dipromosikan sebagai satu sistem kereta api laju menenggelamkan tujuan asas pembinaannya iaitu untuk perkhidmatan Jambatan Tanah Pelabuhan Kerteh-Kuantan-Pelabuhan Klang.
Dalam kata lain, tujuan utama pembinaannya adalah untuk perkhidmatan kargo yang mampu memberi pendapatan lebih baik daripada penjualan tiket penumpang.
ECRL adalah sistem trafik bercampur dan tidak sama penggunaannya dengan landasan kereta api kelajuan tinggi yang perlu dibina khusus untuk kegunaan tren kelajuan tinggi.
Maka atas alasan itu, penggunaan Tolok Standard perlu dikaji semula. Tolok Meter seperti mana landasan KTMB pantai barat Johor Bahru-Padang Besar yang berasaskan trafik bercampur mampu menyediakan perkhidmatan penumpang antara bandar dengan kelajuan purata 140 kilometer sejam.
Perkhidmatan kargo sudah memadai dengan kelajuan purata 90 kilometer sejam dan boleh beroperasi tanpa henti atas landasan Tolok Meter selepas tamat perkhidmatan penumpang sekitar pukul 12 malam.
Cabaran teknikal paling getir malah tidak praktikal ialah kaedah menyambung perkhidmatan tanpa putus antara rel Tolok Meter dan Tolok Standard terutama dalam menyediakan perkhidmatan kargo dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain.
Kedua-dua isu ini perlu dikaji dengan teliti agar ECRL dapat berfungsi dengan semaksimum mungkin. Jika rancangan asal menggunakan Tolok Standard diteruskan, ECRL akan menjadi satu sistem yang terpinggir dari jajaran KTMB di Pantai Barat mahupun SKRL ASEAN.
Penggunaan Tolok Meter untuk ECRL juga menyediakan satu jajaran yang lebih fleksibel di mana tren KTMB sedia ada (penumpang dan kargo) boleh beroperasi atas jajaran ECRL begitu juga tren ECRL di atas jajaran KTMB Pantai Barat.
IR. ABD. RANI AHMAD
Taman TTDI Jaya, Selangor












