KUALA LUMPUR 26 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan tiada sebarang pertengkaran dalam Pakatan Harapan yang menyebabkan kelewatan pengumuman senarai penuh Kabinet.
Beliau turut menafikan khabar angin berlakunya keruntuhan dalam Pakatan Harapan.
“Ia tidak betul. Saya sudah selesai senarai saya dan saya telah menyerahkannya kepada raja,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal berita antarabangsa, , semalam.
Jelas Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, setiap parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan telah menghantar senarai nama kepada beliau untuk dipertimbangkan.
Katanya, beliau pula telah memaklumkan kepada setiap ketua parti-parti dalam Pakatan Harapan mengenai tindakannya memilih pemimpin yang tidak terdapat di dalam senarai nama tersebut.
“Saya menghubungi individu, menteri dan timbalan menteri untuk bertanya sama ada mereka menerima jawatan yang saya berikan…dan peliknya tidak banyak yang protes.
“Terdapat beberapa yang merasakan yang baik, saya sepatutnya memberikan ini dan itu…tetapi apabila ia telah menunjukkan kepada mereka bahawa saya telah mengisi tempat-tempat itu, mereka tidak memprotes, mereka menerima,” katanya.
Pada 21 Mei lalu, 13 menteri baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong.- UTUSAN ONLINE.










