Ternanti siapa Presiden UMNO - Utusan Malaysia

Ternanti siapa Presiden UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK kali kedua, pemilihan UMNO berlangsung dengan lebih terbuka apabila 146,000 perwakilan mengundi untuk menentukan hala tuju, masa depan parti keramat orang Melayu itu hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat artikel ini ditulis, proses pemilihan pucuk kepemimpinan parti berjalan lancar dengan tiada sebarang laporan `gangguan’ atau `perkelahian’ yang diterima.

Mungkin ini menjadi satu manifestasi daripada perwakilan bahawa sudah tiba masanya parti itu berubah, daripada merebut kekuasaan kepada fokus utama memilih pemimpin tepat bagi mengemudi UMNO.

Sudah tentunya kekalahan `memalukan’ UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu memberi tamparan kepada parti itu, setelah sekian lama selesa di tampuk kekuasaan.

Berikutan terpukul dengan tsunami itu, keputusan kepemimpinan parti membuka pertandingan kepada semua jawatan tertinggi dilihat tepat, walaupun ada pihak beranggapan langkah itu sudah terlewat.

Rentetan itu, buat pertama kali dalam sejarah, jawatan Presiden parti yang kali terakhir dipertandingkan pada tahun 1987, menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Lebih menarik, tiga calon utamanya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin hadir daripada tiga era berbeza.

Siapa yang bakal menjadi nakhoda baharu UMNO? Itu adalah tanggungjawab perwakilan menggunakan kuasa memilih.

Meskipun UMNO tewas dan menjadi komponen pembangkang kepada kerajaan Pakatan Harapan, namun keputusan pemilihan parti tetap menarik perhatian orang ramai, khususnya dalam kalangan Melayu dan Islam.

Sudah tentunya mereka tertunggu-tunggu siapa bakal diumumkan sebagai Presiden baharu parti keramat itu yang perjuangannya sangat signifikan dengan Melayu dan Islam.

Hal ini kerana sekiranya diukur sokongan pada PRU-14, UMNO sebagai parti tunggal merupakan yang paling banyak kerusi Parlimen iaitu 52, sekali gus memberi gambaran sokongan orang Melayu dan Islam tetap melihat kepada parti itu.

Itu boleh dijadikan ukuran bahawa peranan UMNO untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan mempertahankan Islam masih menjadi dambaan kumpulan majoriti berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN