GAZA CITY 17 Jun – Tentera Israel bertindak melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penduduk Palestin di kawasan sempadan Gaza menggunakan sejenis ‘alat kawalan udara’ menyebabkan dua penduduk terbabit cedera.
Menurut kenyataan ketenteraan Israel, tembakan itu dilakukan ketika penduduk Palestin dikatakan cuba melepaskan belon berisi bahan bakar ke arah wilayah dikuasai rejim Zionis semalam.
Pihak berkuasa Palestin pula melaporkan tentera Israel melancarkan serangan menggunakan dron ke arah penduduknya di timur kem pelarian al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.
Jurucakap bomba Israel, Eli Cohen memaklumkan sebanyak 20 kebakaran tercetus di selatan wilayah tersebut akibat pelepasan belon berkenaan.
Jelas beliau, sejak tunjuk perasaan bermula Mac lalu, lebih 300 kebakaran direkodkan berlaku yang memusnahkan banyak kawasan ladang serta hutan di wilayah Israel.
Dalam perkembangan lain, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyifatkan usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan konflik antara Israel dengan Palestin sebagai menuju kegagalan.
Jurucakap PA, Nabil Abu Rudeina berkata, kunjungan penasihat White House, Jared Kushner dan wakil khas Presiden AS, Donald Trump bagi Asia Barat iaitu Jason Greenblatt ke Israel pada minggu depan tidak akan mendatangkan sebarang hasil positif.
“Sikap angkuh AS yang tidak menghormati resolusi Sidang Kemuncak Liga Arab serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), usaha damai membabitkan Palestin dengan Israel akan menemui kegagalan,” jelasnya.
Menurut laporan media Israel, Kushner dan Greenblatt akan melawat Israel, Mesir dan Arab Saudi.
PA sebelum ini memutuskan hubungan dengan Washington susulan pengumuman AS yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah tersebut. – AFP










