ALOR SETAR – Tindakan seorang tekong yang tidak mengendahkan arahan untuk memberhentikan bot tunda kelas B1 ternyata sia-sia apabila dia dan lima awak-awak ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Sanglang dekat sini semalam.
Pemangku Ketua Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairilizhar Noraazmi berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan di kedudukan lima batu nautika dari Kuala Sanglang oleh bot peronda APMM Zon Kuala Kedah kira-kira pukul 11.40 malam.
“Bot tersebut pada awalnya enggan memberikan kerjasama dengan tidak mempedulikan arahan untuk memberhentikan bot dan hanya akur dengan arahan tersebut hampir tiga jam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan ke atas bot menemui seorang tekong dan lima awak-awak warga tempatan berusia antara 28 hingga 44 tahun.
“Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika dari pantai.
“Kita kemudian bertindak menahan bot tersebut dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE











