IPOH 9 Jun – Biarpun pelantikan Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Penasihat kepada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mendapat kecaman, salah seorang exco kerajaan negeri mengingatkan bahawa tanpa sokongan ADUN Sungai Manik itu hasrat menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan di Perak masih lagi menjadi suatu impian.
Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Zainol memahami sokongannya terhadap pembentukan kerajaan Pakatan Harapan agak terlewat, justeru beliau tidak mendesak sebarang jawatan exco.
“Ada dalam kalangan penyokong yang marahkan pelantikan beliau sebagai Penasihat kepada Menteri Besar Perak. Mungkin ada yang seakan terlupa bahawa tindakan beliaulah yang telah membolehkan kerajaan Pakatan Harapan tertubuh di negeri Perak.
“Barisan exco dan Menteri Besar sentiasa menitikberatkan agenda rakyat tanpa diganggu gugat oleh pihak berkepentingan. Oleh itu, kita sentiasa peka dengan keresahan rakyat dan pastinya tidak mahu peristiwa rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat berulang,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya.
Otai Reformis 98 hari ini dilaporkan memberikan tempoh selama seminggu kepada Ahmad Faizal bagi menjelaskan tindakan beliau yang dianggap mengkhianati perjuangan mereka apabila melantik bekas pemimpin UMNO tersebut sebagai penasihat bertaraf exco. – UTUSAN ONLINE










