VOLGOGRAD 27 Jun – Akira Nishino mungkin boleh dimaafkan kerana ‘mencubit’ dirinya sendiri jika Jepun mencatat keputusan seri seperti yang mereka harapkan apabila menentang pasukan yang telahpun tersingkir Poland esok untuk layak ke peringkat 16 terbaik dalam Piala Dunia di Rusia.
Tidak sampai dua bulan dia diberi tanggungjawab menerajui Blue Samurai, pemain yang dikenali ramai Keisuke Honda masih belum pasti sama ada akan berada di dalam kapal terbang untuk ke Rusia.
Kini, skuad bimbingan Nishino hanya memerlukan satu mata di Volgograd esok untuk menjejakkan kaki ke peringkat kalah mati, terima kasih hasil jaringan lewat permainan Honda ketika menentang Senegal.
Keputusan seri tersebut dicipta mereka selepas Jepun muncul sebagai pasukan Asia pertama menewaskan skuad Amerika Selatan dalam Piala Dunia, Colombia yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain 2-1.
Walaupun mereka ditimpa kekalahan jika Senegal menewaskan Colombia, Jepun masih mampu mara ke peringkat seterusnya. Walau bagaimanapun, nasib skuad bimbingan Nishino itu berada di tangan sendiri hanya beberapa bulan selepas harapan mereka ke Piala Dunia seperti berada dalam masalah.
Persatuan Bola Sepak Jepun mengambil keputusan berani memecat jurulatih warga Bosnia, Vahid Halilhodzic pada April lalu, selepas beberapa persembahan buruk dipamerkan Blue Samurai dan perselisihan faham dengan pemain-pemain senior.
Namun, keputusan itu ternyata berbaloi dan Nishino berjaya menutup mulut pengkritik menerusi persembahan kemas yang dipamerkan anak-anak buahnya yang bijak menyusun strategi dan mempamerkan skil mengagumkan apabila masih belum tewas dan menghuni kedudukan teratas Kumpulan H.
Jika bukan disebabkan Nishino, bekas penyerang AC Milan dan CSKA Moscow, Honda mungkin tidak berada di dalam skuad kebangsaan Jepun untuk Piala Dunia, sekiranya Halilhodzic masih bergelar pengendali pasukan.
Di bawah teraju Nishino, Honda yang digunakan sebagai pemain gantian berjaya menghadirkan impak kepada pasukan setiap kali dibawa masuk. Bintang veteran itu yang kini beraksi di Pachuca, Mexico menjadi pemain Jepun pertama menjaringkan gol dalam tiga Piala Dunia selepas dia dibawa masuk bagi membantu Blue Samurai mengikat Senegal 2-2 di Yekaterinburg.
Menjelang pertemuan Jepun dan Poland di Volgograd Arena, tidak banyak yang boleh diulas mengenai kedua-dua pasukan. Mereka pernah bertemu hanya dalam dua perlawanan persahabatan dengan Jepun memenangi kedua-dua pertemuan itu, dan yang terakhir ialah pada 2002.
“Saya sedar yang saya pernah menjanjikan kepada rakyat Jepun, kami mampu memenangi Piala Dunia. Saya tidak pernah melupakannya. Secara jujurnya, mengapa saya mahu pergi ke Piala Dunia ialah untuk membuktikan betapa bermaknanya perjuangan saya memburu gelaran tersebut,” kata Honda. – AFP










