IPOH 17 Jun – Veteran UMNO berharap calon-calon yang bertanding jawatan Presiden agar bersaing secara gentleman tanpa menjejaskan perpaduan dalam kalangan ahli parti.
Naib Pengerusinya, Datuk Abdul Khalid Nasir berkata, sesiapa pun yang bakal memenangi jawatan itu perlu memberi tumpuan kepada pemulihan UMNO dan Barisan Nasional (BN) susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Namun, katanya, Veteran UMNO melihat ketokohan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai individu yang mampu memulihkan UMNO kepada tahap boleh dibanggakan sekali gus menjadi parti Melayu yang relevan sepanjang masa, bersandarkan kepada rekod lampau beliau sewaktu berkhidmat di dalam parti mahupun kerajaan.
“Kita sudah putuskan bahawa Tengku Razaleigh sebagai tokoh yang bertanding dan kita bersyukur apabila beliau mengumumkan untuk bertanding semalam.
“Hari ini, apabila Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO) menawarkan diri untuk bertanding, itu merupakan satu perkara yang belum kita hadamkan lagi sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pemilihan UMNO yang bakal diadakan penghujung bulan ini bakal menyaksikan jawatan Presiden parti bakal ditandingi oleh Tengku Razaleigh, Khairy dan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Selain ketiga-tiga calon tersebut, penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz turut mengesahkan pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO.
Dalam pada itu, Abdul Khalid menyifatkan pengesahan Khairy untuk bertanding jawatan Presiden memeriahkan lagi amalan demokrasi dalam UMNO sekali gus menangkis persepsi kononnya barisan pucuk kepemimpinan tertinggi parti sukar untuk dipertandingkan.
“Jadi, jelas terbukti kita menuju ke arah era pemulihan dan sejak awal, kita menunjukkan yang kita memiliki ketiga-tiga calon yang layak,” katanya.










