TAIPING 27 Jun – Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal didesak melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang dan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih Ahli Parlimen baharu.
Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, Syed Abu Hussin yang mengumumkan keluar UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan menjadi wakil rakyat Bebas hari ini perlu perlu bertanggungjawab di atas keputusannya itu.
Menurutnya, walaupun tindakan itu sah dari segi perlembagaan tetapi merupakan satu pengkhianatan kepada parti dan tidak bermoral.
“Kami mendesak agar beliau meletak jawatan selaku Ahli Parlimen dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih Ahli Parlimen yang baharu.
“Kami kesal di atas pengkhianatan yang dilakukan kerana kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah di atas tiket UMNO dan tindakan beliau itu menipu dan mengkhianati kepercayaan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohammad Sollehin berkata, tuduhan Syed Abu Hussin bahawa 15 cawangan UMNO yang sengaja ‘dimatikan’ semasa Persidangan Perwakilan Sayap UMNO pada Sabtu lalu tidak berasas kerana kesemua cawangan tersebut gagal mengadakan persidangan.
Beliau berkata, selain itu dakwaan wujudnya budaya politik wang dalam pemilihan sayap bahagian itu merupakan satu tuduhan serkap jarang tanpa bukti, berniat jahat dan menjatuhkan kredibiliti Pemuda UMNO bahagian itu.
“Alasan beliau semata-mata bagi menghalalkan tindakannya keluar parti dan bersifat individu dengan menjadikan sayap Pemuda sebagai kambing hitam.
“Malah keputusannya juga mungkin disebabkan kepentingan peribadi kerana semua pihak tahu beliau mempunyai rangkaian perniagaan yang besar sehingga mampu mengeluarkan zakat perniagaan sehingga RM1 juta,” katanya.
Kata beliau, sebenarnya persidangan sayap Pemuda UMNO bahagian baru-baru ini dicemari dengan sikap tidak bertanggungjawab Syed Abu Hussin sendiri yang cuba mensabotaj dan mengagalkan persidangan tersebut.
“Kami mempunyai bukti yang kukuh bahawa wujudnya unsur sabotaj pada persidangan tersebut,” katanya.
Mohammad Sollehin berkata, tiga-tiga sayap UMNO bahagian menyatakan sokongan kepada pemangku Ketua Bahagian, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang. – UTUSAN ONLINE











