KALININGRAD – Kerja keras serta tidak mudah mengaku kalah menjadi azimat penting buat Switzerland apabila berjaya menewaskan Serbia 2-1 pada aksi Kumpulan E di Stadium Kaliningrad awal pagi semalam.
Skuad kendalian Vladimir Petkovic itu memperoleh dua gol menerusi Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri pada separuh masa kedua, sekali gus memadam gol pembukaan yang dijaringkan Aleksandar Mitrovic seawal minit kelima.
Sedar gagal menyaingi kehebatan Serbia pada separuh masa pertama, Petkovic melakukan sedikit perubahan pada corak permainan sehingga mampu memberi saingan sebaik separuh masa kedua bermula.
“Jujur saya katakan kami semua kehabisan tenaga kerana perlawanan ini cukup pantas dan menarik. Mereka mendahului perlawanan 1-0 tetapi kami berjaya temui keseimbangan pada separuh masa kedua.
“Apa yang penting adalah kami berjaya mendapatkan mentaliti kemenangan walaupun ketinggalan kepada pasukan lawan. Kami sentiasa mencari ruang untuk bangkit serta tampilkan karakter positif dalam pasukan,” kata Petkovic.
Kemenangan ke atas Serbia itu meletakkan peluang Switzerland kembali cerah untuk mara ke pusingan kedua selepas mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Brazil pada perlawanan pembukaan.
“Pada waktu rehat, saya dan semua pemain berbincang mengenai perlawanan tersebut dan kami tidak mahu tamatkan perlawanan dengan keputusan seri. Justeru, kami mendapat semangat baharu dan bermain lebih baik pada separuh masa kedua,” ujarnya. – Agensi










