KUALA LUMPUR 26 Jun – Khazanah Nasional menafikan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang direman selama tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memegang sebarang jawatan dalam badan tersebut.
Khazanah Nasional dalam satu kenyataan ringkas memberitahu, suspek bergelar Datuk yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan ahli lembaga dalam Khazanah Nasional.
“Individu tersebut tidak pernah memegang sebarang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah dalam Khazanah Nasional,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, suspek diperintahkan Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatn berhubung kes 1MDB.
Suspek ditahan pada pukul 9.45 kelmarin di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dekat sini selepas hadir memberikan keterangan.
Sumber SPRM memaklumkan, lelaki berkenaan merupakan pengarah kepada sebuah syarikat yang dipercayai menerima transaksi wang daripada 1MDB. – UTUSAN ONLINE










