MESKIPUN dikritik oleh pelbagai pihak termasuk diibaratkan seperti pepatah Inggeris, `New wine, old bottle’ (Wine atau arak baharu dalam botol lama), namun penubuhan parti baharu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipercayai masih relevan di Sarawak jika ia distrukturkan semula.
![]() |
|
NADRAWINA ISNIN
|
Menurut penganalisis politik, Dr Nadrawina Isnin, GPS yang merupakan gabungan empat parti kompenan Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dibubarkan, masih lagi mengekalkan ahli-ahli dan muka lama daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak berkata, parti yang `membebaskan diri’ daripada BN itu cuma berbeza nama tetapi masih mempunyai pemimpin dan ahli-ahli yang sama
Justeru, ujarnya, parti yang ‘bersalin kulit’ itu perlu ada penstrukturan semula dengan memasukkan 70 peratus ahli-ahlinya dalam kalangan muka baharu dan orang muda jika ingin kekal relevan.
“Perlu ada kumpulan ini supaya peralihan kuasa dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur. Rakyat sudah muak dengan wakil rakyat yang tidak menjaga kebajikan mereka tetapi lebih menjaga kepentingan peribadi.
“Perubahan struktur ini juga bermakna mana-mana wakil rakyat yang sudah mencapai usia emas dan tidak boleh menyumbang atau komited terhadap tugas boleh digugurkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nadrawina, rakyat Sarawak sudah lama menanggung masalah seperti isi ketiadaan bekalan air bersih di kampung-kampung atau wakil rakyat yang tidak memberikan perkhidmatan mereka sejurus selepas menang dalam pilihan raya.
Sehubungan itu, katanya, kehadiran muka baharu dan muda yang bersemangat untuk bekerja membela nasib rakyat amat ditunggu-tunggu.
Ditanya tentang tindakan empat parti komponen Sarawak meninggalkan BN selepas 44 tahun berjuang bersama, beliau berkata, parti yang membentuk kerajaan negeri itu mempunyai alasan tersendiri yang dipercayai lebih kepada keperluan untuk menjaga kepentingan rakyat.
Mengenai Ahli Parlimen GPS yang kini menjadi pembangkang di Parlimen, Nadrawina berkata, ada hikmah sebenarnya yang telah berlaku apabila Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan membentuk kerajaan Malaysia yang baharu.
Jelasnya, apa yang terjadi menghendaki Ahli Parlimen GPS perlu bersikap lebih tegas dan lantang bersuara kerana mereka kini adalah pembangkang.
“Kalau dahulu semasa menjadi Ahli Parlimen BN Sarawak mereka kurang lantang bersuara (jika dilihat dalam video di Dewan Parlimen), sekarang sudah berubah. Keberanian mesti ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE











