Struktur Imigresen, polis akan dirombak kerana berserabut - Utusan Malaysia

Struktur Imigresen, polis akan dirombak kerana berserabut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR – Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirombak serta disusun semula berikutan struktur yang disifatkan ‘berserabut’, demikian kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, rombakan itu yang hanya dilakukan selepas berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memberikan penjelasan turut dibuat kerana kedua-dua jabatan itu menerima aduan paling tinggi daripada orang ramai yang perlu diselesaikan segera.

“Tujuannya tidak lain supaya peranan agensi-agensi di bawah kementerian kita berjalan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan kerana kita (jabatan dan agensi Kementerian Dalam Negeri) berdepan berbagai-bagai tanggapan yang agak negatif. 

“Saya sedar perkara ini dan ia adalah satu perkara yang tidak baik dari sudut imej dan juga keyakinan serta kepercayaan rakyat jelata kepada kementerian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, rombakan itu juga diharap dapat memperbetul dan menyelesaikan beberapa kepincangan yang dikesan dalam agensi berkaitan sebelum ini antaranya berhubung proses pemutihan pendatang asing tanpa izin. 

Mengenai isu lain, beliau yakin polis akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menangkap Jho Low, individu dipercayai suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Arahan untuk menangkap Jho Low dan membawa balik beliau telah lama saya minta PDRM buat. Jadi, tunggulah,” ujarnya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN