PUTRAJAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas 500 unit mop stim dianggar bernilai RM300,000 kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan untuk mengimport, mengilang atau mempamer kelengkapan elektrik di negara ini.
ST dalam satu kenyataan berkata, rampasan itu dibuat selepas pengimport gagal mengambil tindakan selanjutnya walaupun notis telah dikeluarkan supaya melupus atau memulangkan semula kelengkapan itu ke negara asal.
“Hasil pemantauan yang dilakukan di gudang simpanan sebuah syarikat mendapati syarikat pengimport berkenaan gagal mematuhi notis yang dikeluarkan ST.
“Sehubungan itu, ST sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah subperaturan 109A (2)(b), Peraturan-peraturan Elektrik 1994,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kelengkapan-kelengkapan elektrik yang dikawal diwajibkan untuk mendapatkan Perakuan Kelulusan (CoA) dan seterusnya menjalani ujian konsainmen di SIRIM.
“Sebanyak 34 jenis kelengkapan elektrik adalah di bawah kawalan ST antaranya soket, lampu, cerek air, ketuhar dan pengecas.
“Jika disabitkan kesalahan, syarikat terbabit bakal berdepan dengan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya,” tegasnya. – K! ONLINE











