MUAR 30 Jun – Ahli UMNO perlu memberi sokongan penuh kepada siapa sahaja Presiden baharu yang terpilih bagi memastikan usaha memulih parti berjalan baik.
Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, sokongan padu dan tidak berbelah-bahagi itu juga penting untuk membawa UMNO ke peringkat lebih tinggi, selain mengelak perpecahan dalaman.
“UMNO disifatkan seperti terumbang-ambing kerana ketiadaan ketua sebelum ini.
Jadi,;siapa pun yang menang jangan kita persoalkan pula (sebaliknya) kena beri sokongan penuh kepada beliau.
“Jangan pula rumah siap tetapi pahat masih berbunyi. Siapa pun ketua kita akan patuhi. Justeru, pilihlah sesiapa yang dirasakan mampu memimpin UMNO bagi tempoh beberapa tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Muar, di sini sebentar tadi.
Razali mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian selepas tidak dicabar pada pemilihan kali ini dan turut bertanding mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO di peringkat pusat.
Selain Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, turut mempertahankan jawatan ialah Timbalannya, Datuk Ashaari Md. Sarip dan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Yazid Muhain. – UTUSAN ONLINE











