MUAR 30 Jun – Ahli UMNO perlu memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja Presiden baharu yang terpilih kelak bagi memastikan usaha memulih parti berjalan baik.
Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, sokongan padu dan tidak berbelah bahagi itu juga penting untuk membawa UMNO ke peringkat lebih tinggi, selain mengelak perpecahan dalaman.
“UMNO disifatkan seperti terumbang-ambing kerana ketiadaan ketua sebelum ini, jadi siapa pun yang menang jangan kita persoalkan pula (sebaliknya) kena beri sokongan penuh kepada siapa yang menang.
“Jangan pula rumah siap tetapi pahat masih berbunyi. Siapa pun ketua kita akan patuhi, justeru itu pilihlah sesiapa yang dirasakan mampu memimpin UMNO bagi tempoh beberapa tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Muar di sini, sebentar tadi.
Razali mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian selepas tidak dicabar pada pemilihan kali ini, namun bertanding mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di peringkat Pusat.
Selain Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, turut mempertahankan jawatan ialah Timbalannya, Datuk Ashaari Md. Sarip dan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Yazid Muhain. – UTUSAN ONLINE











