SEPERTI kebanyakan pemain Brazil, Coutinho memulakan perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak di jalanan selepas terpengaruh melihat dua abangnya iaitu Cristiano dan Leandro ligat beraksi menggelecek dan menimang bola.
![]() |
|
|
Coutinho kemudian menyertai akademi bola sepak tempatan sebelum berjaya mencuri tumpuan jurulatih remaja kelab Vasco da Gama dan selepas berjaya melepasi ujian percubaan dia ditawarkan tempat dalam pasukan tersebut.
Kesungguhannya mendalami ilmu bola sepak menyebabkan dia dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil bawah 15.
Kariernya terus berkembang apabila Coutinho disambar Inter Milan pada usia 16 tahun, bagaimanapun disebabkan peluangnya tidak banyak dia mengambil keputusan untuk dipinjamkan kepada Espanyol sebelum berjaya menambat hati juara 18 kali Liga Perdana Inggeris, Liverpool.
Pemain yang dibeli dengan kos 8.5 juta pound (RM44 juta) daripada Inter pada 2013 itu menjadi pelaburan terbaik buat Liverpool apabila dia menjadi watak utama pasukan dengan meledak 41 gol sepanjang berada di Anfield.
Sewaktu tiba di Anfield, Coutinho tidak diletakkan harapan yang tinggi malah kehadirannya turut tenggelam apabila penyerang England, Daniel Sturridge menyertai Liverpool selepas berpindah dari Chelsea.
Liverpool menerima pulangan lumayan di atas pembelian pemain tersebut apabila Coutinho dibeli dengan harga 142 juta pound (RM751 juta) untuk menyertai Barcelona.
Coutinho seharusnya mengucapkan terima kasih kepada bekas pengendali Liverpool, Brendan Rodgers apabila mengenal pasti bakatnya ketika Piala Dunia Bawah 20 sebelum dibawa masuk menyertai The Reds malah berbekalkan komitmen dan disiplin yang tinggi telah mempercepatkan tempoh kematangannya sebagai pemain bola sepak profesional.
Antara punca utama Coutinho membuat keputusan untuk meninggalkan Anfield adalah kerana dia berasakan prospek untuk menjulang trofi sukar malah dia juga pernah bersetuju untuk menerima tawaran 100 juta pound (RM528 juta) daripada Bracelona tetapi Liverpool menolaknya.
Namun selepas melihat Coutinho tidak menunjukkan kesungguhan dalam permainan telah menyebabkan Liverpool bersetuju untuk melepaskannya pada 6 Januari 2018.
Menyentuh mengenai kisah peribadinya, Coutinho menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan yang dikenalinya sejak zaman remaja iaitu Aine pada usia 20 tahun dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Marie.
Dia mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarganya malah turut mencacah tatu ditubuhnya bagi memperingati mereka.
“Keluarga saya adalah segala-galanya dalam hidup saya,” kata Countinho.
Sejak menyertai Liverpool, aksi Coutinho mula memikat skuad kebangsaan Brazil untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama kebelakangan ini dan kedudukannya diperkuatkan lagi setelah berpindah ke Barcelona.











