Sisi positif, negatif media sosial - Utusan Malaysia

Sisi positif, negatif media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN aplikasi media sosial yang tumbuh bak cendawan selepas hujan telah mengubah bentuk simbiotik antara media, sukan dan atlet daripada bentuk satu hala kepada satu bentuk lebih luas.

Daripada bergantung sepenuh­nya kepada media-media konvensional sebagai pengantara antara atlet dan pembaca, kini atlet sendiri mampu mengawal naratif menerusi Twitter, Instagram dan Facebook.

Platform-platform ini membolehkan atlet memaparkan sisi jujur dan secara tidak langsung mampu meninggalkan ke­san yang berterusan ke­pada para peminat mereka.

Sudah menjadi kebia­saan buat atlet memaparkan kehidupan karier mereka daripada sesi latihan, kejohanan serta kehidupan peribadi untuk tatapan para peminat di seluruh dunia.

Sama seperti remaja lain, atlet juga mudah te­ruja dengan perhatian terutama dengan gelaran ‘selebriti’ yang secara tidak langsung melahirkan corak pemikiran berbeza berbanding atlet-atlet lebih senior.

Situasi ini dapat dilihat dengan ketara pada Sukan Komanwel lalu di mana rata-rata atlet berkongsi perkembangan sepanjang keberadaan mereka di Gold Coast, Australia untuk tatapan para peminat.

Di sebalik keseronokan dan keterujaan me­reka untuk mewakili negara terserlah, terdapat beberapa tindakan yang dianggap tidak profesional seperti meluahkan kekecewaan mereka terhadap pengurusan atau memaparkan keseronokan setelah tewas di media sosial.

Terdapat satu kes di mana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengeluarkan surat amaran kepada dua pemain, Goh V Shem dan Goh Soon Huat yang mendakwa tiada pegawai kontinjen Malaysia hadir memberikan sokongan ketika aksi penentuan pingat gangsa membabitkan acara beregu campuran di laman sosial masing-masing.

Selain itu Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pemain yang menggunakan media sosial tanpa pe­rasaan kesal terutama­nya apabila tewas.

Di peringkat antarabangsa, atlet lompat galah Greek, Paraskevi Papachristou te­lah ditarik balik penyertaannya di Sukan ­Olimpik London 2012 setelah memuat naik status gurauan berbaur rasis mengenai imigran Afrika di Greece.

Hal ini membuktikan bahawa media sosial seseorang atlet bukan lagi milik peribadi memandangkan mereka turun ke pentas dunia de­ngan membawa nama baik negara sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan atlet mengurus platform tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi Program Sains Senaman & Sukan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Hairul Anuar Hashim berpendapat media sosial mempunyai pelbagai fungsi positif dalam konteks sukan sekiranya atlet bijak memanfaatkan.

Para atlet juga boleh menggunakan media sosial sebagai pemang­kin untuk membantu usaha mempromosikan aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Bagi sukan massa, ia merupakan satu wadah yang sangat berkesan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Malah, pelbagai aplikasi telefon pintar berkaitan senaman cenderung untuk mengintegrasikan media sosial sebagai salah satu fungsi aplikasi tersebut.

“Melalui aplikasi ini, individu boleh berkongsi pencapaian mereka dalam aspek kecergasan bersama ahli-ahli lain yang menggunakan aplikasi tersebut. Selepas itu, mereka boleh berkongsi aktiviti senaman.

“Dalam konteks atlet berprestasi tinggi, perkongsian kejayaan mereka mampu melonjakkan motivasi buat atlet lain untuk meraih pencapaian lebih baik di peringkat tertinggi,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo!.

Selain itu, Hairul juga menjelaskan bahawa ­atlet-atlet masa kini boleh menjadikan media sosial sebagai platform membentuk profil pencapaian kenderi yang positif untuk menarik para penaja.

“Bagi atlet yang ingin tahap dan prestasi mereka dilihat di luar sempadan berita dan akhbar negara, media sosial mampu memainkan peranan tersebut. Profil yang positif juga mampu untuk membentuk nilai yang lebih tinggi bagi atlet berkenaan.

“Bagaimanapun para atlet perlu faham aspek media sosial yang bersifat dunia tanpa sempadan. Ini bermaksud para ‘pengikut’ yang mengamati setiap entri terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pegangan prinsip berbeza.

“Dalam konteks ini, atlet perlu lebih berhati-hati dalam memilih perkara yang ingin dikongsi ber­sama peminat mereka. Perkongsian perkara-perkara yang tidak kena pada tempat, seperti melancong dan melawat tempat-tempat di luar negara, sedangkan pasukan mengalami kekalahan cenderung untuk menarik maklum balas negatif.

“Maklum balas negatif ini pula jika tidak ditangani dengan baik boleh memberi tekanan dan mempengaruhi prestasi atlet terbabit. Oleh itu, atlet perlu membentuk satu kemahiran psikologi dalam memilih untuk melayan peminat atau ha­ters mereka,” katanya.

Sementara itu, atlet terjun Olimpik kebangsaan, Wendy Ng Yan Yee mengakui kehadiran media sosial memainkan peranan penting buatnya dari segi motivasi biarpun mengakui terdapat kritikan pedas yang kadangkala menyakitkan hati.

“Saya sering berkongsi pendapat peribadi saya bersama peminat seluruh dunia namun perkara itu kadangkala mengundang maklum balas yang negatif. Saya pernah dikritik dan dibenci orang awam pada ruangan komen Instagram saya ter­utama setelah nama saya diumumkan sebagai atlet gagal doping.

“Bagaimanapun, saya enggan jatuh semangat kerana kata-kata kesat mereka. Saya percaya, cara untuk membuktikan mereka salah adalah dengan memberikan persembahan terbaik di setiap kejohanan.

“Tapi, sebenarnya, saya lebih rasa bersyukur kerana ramai yang menyokong saya ketika berada dalam keadaan bercelaru. Mereka memberikan sokongan untuk saya terus tabah dan terus pandang ke hadapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN