JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan satu sindiket penipuan Macau Scam apabila memberkas 67 warga China dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Eco Casdia, Taman Eco Perniagaan di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 11.30 pagi, Jumaat lalu itu, kesemua suspek termasuk lapan wanita yang ditahan berusia antara 19 hingga 38 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek didapati sedang mengoperasikan kegiatan haram itu menggunakan 100 unit komputer dan empat unit komputer riba.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati premis terbabit disewa sejak sebulan lalu untuk digunakan sebagai pusat operasi kegiatan haram berkenaan.
“Polis melakukan serbuan selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti Macau Scam, namun selepas menjalankan siasatan, kita juga percaya mereka turut menjalankan kegiatan perjudian online di premis terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini semalam.











