Simpan pil kuda dalam kasut sukan - Utusan Malaysia

Simpan pil kuda dalam kasut sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 25 Jun – Seorang pemuda ditahan kerana dipercayai memilikk 510 biji pil kuda di rumah keluarganya di Kampung Chengal Tawang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, sepasukan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok telah menyerbu rumah tersebut pada pukul 3 pagi selepas menerima maklumat awam dan risikan susulan.

Menurutnya, pada awal pemeriksaan, polis gagal menemui barang kes namun akhirnya tiga bungkusan plastik kecil yang mengandungi pil berwarna merah dan hijau ditemukan dalam kasut sukan di rumah tersebut.

“Pemuda berusia 22 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki satu rekod lampau kes dadah serta turut positif dadah Methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan.

“Suspek yang tidak mengakui dadah berkenaan miliknya ditahan reman sehingga 28 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandotori gantung sampai mati,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Bachok, dekat sini, hari ini.

Nik Aminuddin berkata, pada hari yang sama sepasukan anggota polis narkotik Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) turut menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun bersama satu botol kecil serbuk putih dipercayai heroin.

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Mahligai, dekat sini.

“Suspek di bawa ke IPD Bachok turut positif dadah heroin selepas ujian air kencing dijalankan dan ditahan reman sehingga esok.

“Hasil siasatan lanjut suspek dikesan memiliki enam rekod yang melibatkan kes dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Tambahnya, kedua-dua suspek dipercayai sebagai pengedar kecil-kecilan sambil mendapatkan bekalan untuk melepaskan ketagihan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN