KOTA KINABALU – Satu usul menyokong pelantikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri dijangka dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Sabah di Bangunan DUN di sini pada Isnin depan.
Difahamkan, pembentangan usul tersebut adalah untuk memuktamadkan sokongan terhadap Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang mana jawatan itu kini dicabar oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dalam satu writ saman.
Kes tersebut akan didengar di hadapan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 9 Julai depan.
Menurut sumber, sidang khas berkenaan juga dipercayai untuk memastikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah dan menzahirkan sokongan kepada Mohd. Shafie.
Dalam pada itu, persidangan khas itu dijangka dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Abdul Rahman, 68, yang telah menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pada Khamis lalu. – K! ONLINE











