MACHANG 21 Jun – Seorang maut manakala enam lagi cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua jenis kenderaan di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai berhampiran Kweng Design Machang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 malam itu, mangsa yang merupakan penumpang kenderaan jenis Suzuki Vitara, Mohd Zaki Mustafa,57, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, pemandu berusia 17 tahun dan dua penumpang yang dipercayai isteri dan anak mangsa berusia 46 dan lima tahun turut mengalami kecederaan parah.
Manakala, tiga lagi mangsa yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia dipercayai adik beradik juga parah.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitenden, Dzulkifli Abdul Ghani berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang kerumahnya di Bachok iaitu dari hala Kuala Krai ke Kota Bharu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Suzuki Vitara yang dipandu anak mangsa telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku perlanggaran secara berhadapan.
“Akibat dari perlanggaran tersebut, mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian organ dalaman,” katanya.
Tambahnya , siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE










