AKU sudah berada di takhta singgahsana yang pernah aku impikan semasa kecil dahulu.Aku telah menakluki impian itu.Aku telah menjalani liku hidup yang panjang dan pelbagai dalam pendakian ke puncaknya.
Kadang-kadang tidak terfikir aku akan menjejaki puncak impian yang pernah aku angankan. Inilah tempatnya di sebalik keindahan dan kecantikan yang sering aku lihat pada setiap senja semasa kecil.
Rupa-rupanya keindahan itu tidak sepertimana yang pernah aku gambar dan khayalkan.Orang kata di sebalik keindahan ada syurga,ada ketenangan. Namun yang aku lihat hanya senja dan warnanya yang kian hilang, ada sepi yang panjang.
Aku memikir tentang rencana yang telah diaturkan Tuhan. Ia cukup indah.Dia memberikan yang terbaik untuk manusia.
Aku mengerti Tuhan itu siapa,menjadikan aku seindah rupa sehingga aku membesar dan membesar dalam aturannya.
Aku mengerti sebesar apa pun bentuk ujian, sekecil mana pun bentuk anugerah, ada hikmah di sebalik pemberian itu.
Semasa kecilku, senja adalah saat yang paling indah,dan siangnya adalah detik paling gembira dan menyeronokkan. Kini, keindahan dan keseronokan itu sudah hilang. Tiada lagi keriangan dan kegembiraan.Tiada lagi bisikan nenek yang penuh makna, tiada lagi kiasan atuk untuk aku hafal, tiada lagi leter ibu dan kasih sayangnya.
Benarlah Tuhan ciptakan sesuatu itu penuh makna.Rencana yang diaturkannya cukup indah, bukan seindah senja yang sering aku khayalkan semasa kecil. Segalanya penuh makna. Kehidupan tidak mesti berlaku,atau berjalan mengikut apa yang aku kehendaki. Segalanya penuh hikmah dan bererti.
Cucu yang diam sejak tadi hanya termangu merenung ke arah aku. Matanya meratah setiap kedut di wajahku, setiap sudut lengan dan jemari yang berurat kendur dan menggeleber. Setiap sudut tubuh aku disentuhnya dengan suatu pandangan yang penuh makna.
Aku meneguk air kosong yang dibawa oleh cucu, dia hanya memerhati saja.
“Ada beberapa perkara yang akan atuk titipkan kepada cucu.” Kataku perlahan.
Angin senja berhembus lembut.Kicau burung tidak kedengaran lagi. Merah jingga yang bersisa di kaki langit kian menghilang.Aku melihat sekeliling yang agak sunyi, tiada sesiapa…, hanya seorang cucu yang setia menemani.Aku merenung tepat ke wajahnya yang comel itu. Dia hanya tersenyum dan ada ketika pandangan kami bersambung.
“Cu, hidup ini adalah sebuah perjalanan dan senja pasti akan tiba. Oleh itu, jangan persiakan waktu siangnya.” Kataku perlahan dan cucu hanya tersenyum.
Aku merenung ke wajah cucu yang comel dan manis itu. Aku teringat kawan-kawan serta ibu dan ayah, setiap keindahan masa-masa lalu hadir dalam kotak kenangan. Ianya cukup indah dan bermakna. Kawan-kawan sepermainan masa lalu sudah berusia bagai merah senja di kaki langit, ada juga yang sudah pun tiada. Senah kecik yang sudah bergelar nenek, Tajudin yang bergelar atuk. Wati yang sudah berusia tetapi masih jangak.
Noraini yang sudah berhijrah bersama suami entah ke mana.Jusuh masih di ibu kota sebagai artis tua yang tidak popular.Nudin sebagai pengusaha yang hanya sekadar cukup makan. Nasir yang berhijrah sudah menjadi warga Johor. Mat Deris sebagai imam muda Kampung Kutan dan Kolid entah di mana. Aku sebagai warga senja di Kampung Kutan hanya mampu melihat setiap inci perubahan menatap landskap dan warna kehidupan.
Ya…,kehidupan sudah banyak berubah. Bukan seperti dahulu lagi. Dunia sudah maju, segalanya pesat dan pantas. Perubahan gaya hidup dan berfikir juga sudah banyak berubah. Dahulunya atuk dan nenek membaca kitab. Kini, atuk dan nenek membaca WhatsApp.
Masjid pun semakin besar, indah, cantik dan menarik. Tidak seperti dahulu. Namun penghuni- nya entah bagaimana.
Tiada lagi Timbalan Perdana Menteri datang merasmikannya. Tiada lagi Sidi Abdul Latif memberi ceramah agama yang membuatkan penduduk berduyun-duyun datang mendengarnya. Yang ada, para ustaz yang bermacam-macam latar belakang pengajiannya.
Penduduknya kian bertambah. Bertambah juga ilmu dan pengetahuan.
Hidup kian mudah, mati pun mudah.Ilmu di hujung jari, iman di hujung kuku.
Aku melepaskan keluhan melingas sekeliling dengan pandangan yang sayu. Aku didatangi rindu. Rindu pada masa-masa lalu. Rindu untuk mengulangi kenangan silam yang manis. Namun aku sedar,kenangan tetap kenangan, tiada apa pun yang dapat menyekat peredaran waktu mahu pun mengembalikan masa-masa yang telah berlalu.
Inilah hukum alam.
“Atuk, lihat! Matahari sudah tenggelam.” Kata cucu sambil menunjuk ke ufuk barat di mana kelihatan matahari yang sudah pun hilang.
Aku tersenyum, kemudian mengulang kata sambil membelai rambutnya beberapa kali.
“Manfaatkan waktu siangnya kerana senja pasti akan tiba dan malam pasti menjelang. Atuk tahu, kamu masih belum mengerti saat ini, tetapi atuk yakin kamu akan lebih mengerti setelah kamu dewasa nanti.”
Cucu hanya tersenyum. Aku diam sesekali tunduk melihat dedaun kuini yang berguguran di tanah. Sehelai daun yang gugur itu tidak kekal pada rantingnya. Ilmu itu adalah samudera yang tidak berpantai. Oleh itu, terokailah walau hanya pada sehelai daun.
“Cu,ilmu itu tersemat di dada, bukan yang lahir dari kata-kata.Demikian khazanah alam itu, berada di dasar lautan, bukan yang timbul di permukaan.”
Angin senja bertiup perlahan.Cucu menatap wajah aku tanpa meluah sepatah kata.
“Sekiranya kita gagal dalam pelajaran, tidak bermakna kita gagal dalam hidup, namun sebaiknya biar berjaya dalam pelajaran dan sukses juga di dalam hidup. Sebagaimana khazanah alam yang berada di dasar lautan, walau kita gagal mendapatkannya, tidak bermakna kita gagal memahaminya. Namun, sebaiknya, biarlah kita berjaya mendapatkannya walau hanya secebis yang timbul di permukaan.
Aku lihat cucu hanya tersenyum merenung ke wajah aku yang berkedut ini. Dan angin senja masih berhembus lembut. Aku melontar pandang ke ufuk barat, melihat detik pertukaran waktu antara senja dan malam.
Hargailah setiap nafas yang dikurniakan. Selagi Tuhan berikan masa, jangan menyesal bila ia sudah tiada. Selagi Tuhan berikan usia, jangan sia-siakan selagi bersisa.
Di penghujung senja ini. Terima kasih Tuhan, kerana menjadikan aku seorang manusia. Aku tak boleh kembalikan masa-masa yang telah berlalu dalam hidup. Aku hanya boleh kembalikan kenangan-kenangan itu. Aku tak boleh hidupkan orang-orang yang telah mati,aku hanya boleh hidupkan kembali mereka-mereka itu dalam setiap kenangan.
Angin berhembus perlahan sesekali menusuk ke kulit aku, kemudian kedengaran azan Maghrib dan perlahan-lahan senja itu menghilang.











