BESUT 30 Jun – Meskipun tidak lagi menawarkan diri bagi sebarang jawatan di peringkat bahagian dan Pusat dalam pemilihan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan beliau akan terus memberi komitmen membantu memantapkan parti.
Mengulangi pendiriannya bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu, Ahli Parlimen Besut itu yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi seakan menepis pelbagai tanggapan yang mungkin berbangkit dengan mengingatkan bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan parti.
“Tugas untuk memulihkan keyakinan keseluruhan rakyat terhadap UMNO perlu diteruskan dan boleh dijayakan oleh kalangan pemimpin yang benar-benar ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri,” ujarnya.
Idris yang turut mengambil tanggungjawab sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kota Putera (kerusi tunggal BN yang gagal dipertahankan) berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat sini hari ini.
Selain Idris yang sebelum ini menyandang Naib Ketua UMNO bahagian, turut tidak bertanding ialah bekas ADUN Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian.
Idris berkeyakinan UMNO yang masih merupakan parti terbesar tunggal di Parlimen apabila memenangi 52 kerusi dan mampu bangkit kembali di persada politik negara untuk meneruskan khidmatnya kepada rakyat.
Menurutnya, kegagalan UMNO untuk menerajui negeri dan negara mempunyai hikmah tersendiri yang perlu dimuhasabah oleh saf kepemimpinan di segenap peringkat dengan penuh tekad untuk berubah.
Mengenai kerajaan Pakatan Harapan beliau berkata, tidak sampai dua bulan gabungan parti itu menerajui negara, banyak keputusan tidak berpandukan kepada manifesto yang mula menghakis keyakinan rakyat.
Terdahulu, Ketua UMNO bahagian, Nawi Mohamad dalam ucapannya berkata, UMNO Besut telah membuat keputusan empat wakil rakyat UMNO yang terdiri tiga ADUN dan Parlimen masing-masing akan menyumbangkan gaji bulanan sebanyak RM1,000 kepada UMNO bahagian.
Langkah itu katanya, sebagai pengorbanan dan komitmen mereka untuk terus membantu UMNO menggerakkan jenteranya dan khidmat kepada masyarakat. – UTUSAN ONLINE











