KUALA LUMPUR – Hong Leong Islamic Bank Bhd. (Hong Leong Islamic Bank) mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, berbanding kira-kira 9 peratus yang dijangka dicapai pada tahun kewangan 2018.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jasani Abdullah berkata, portfolio perbankan runcit dengan segmen gadai janji menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan pembiayaan bank itu.
“Hong Leong Islamic Bank mempunyai kehadiran kukuh dalam segmen runcit dengan menyediakan produk-produk patuh syariah yang bersesuaian dengan pasaran semasa.
“Dengan lebih banyak produk baharu yang akan diperkenalkan pada tahun ini serta selaras dengan jangkaan pertumbuhan pembiayaan industri perbankan Islam, kami yakin dapat mencatatkan prestasi lebih baik bagi tahun kewangan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman pelantikan Hong Leong Islamic Bank sebagai ejen Amanah Saham Nasional Bhd. oleh Permodalan Nasional Bhd. di sini baru-baru ini.
Setakat ini, dari segi pembiayaan bank, lebih 75 peratus terdiri daripada segmen runcit manakala selebihnya merupakan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat.
Menurut Jasani, meskipun tidak terlalu memberi keutamaan kepada segmen korporat, bank berkenaan akan memperkukuhkan segmen PKS agar sejajar dengan pertumbuhan sektor tersebut di negara ini.
“Pada tahun ini, kami akan memperkenalkan produk kemudahan pembiayaan perdagangan Islam yang dilihat masih kurang di pasaran,” ujarnya.
Hong Leong Islamic Bank merupakan anak syarikat milik penuh Hong Leong Bank Bhd., yang menjadi sebahagian daripada Hong Leong Financial Group.
Bank itu kini mengendalikan lapan buah cawangan bank Islam sepenuhnya selain perkongsian rangkaian di lebih 270 cawangan Hong Leong Bank dan lebih 1,400 terminal layan diri di seluruh negara.











