‘Sampai bila mahu 
telan ubat perangsang?’ - Utusan Malaysia

‘Sampai bila mahu 
telan ubat perangsang?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEJALA menelan ubat perangsang dalam sukan angkat berat boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah atlet untuk mencari jalan pintas bagi merangkul kejuaraan dan mengejar populariti dalam kejohanan yang disertai mereka.

Kegiatan tidak bermoral seperti itu ibarat seperti barah yang sukar diubati dan menggusarkan persatuan induk Persekutuan Ang­kat Berat Malaysia (PABM) sekali gus ditempelak akibat gagal mengawal penularan bahan terlarang terhadap atlet angkat berat.

Bukan untuk menjatuhkan imej atau memandang rendah keupayaan ‘badang’ negara tetapi akibat isu doping yang seringkali menghimpit arena angkat berat negara menyebabkan sukan ini digantung selama setahun.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengumumkan penggantungan atlet angkat berat negara daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos ini.

Tahun 2018 adalah musim terburuk yang direkod kem angkat berat negara sehingga memaksa PABM mengambil tindakan ‘mengharamkan’ segala aktiviti sukan tersebut selama setahun untuk memastikan gejala doping dapat dipulihkan terlebih dahulu.

Tahun ini sahaja terdapat empat kes do­ping melibat atlet angkat berat negara antaranya pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Mohd. Hafifi Mansor dikesan positif menggunakan bahan terlarang pada kejohanan Terbuka Australia Mac 2017 sekali gus dikatakan digantung sementara.

Disusuli pula de­ngan atlet elit negara yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad yang gagal dalam ujian doping yang dilakukan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) di Malaysia.

Lebih memeritkan, tiga atlet pelapis negara turut dikesan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) positif menggunakan bahan terlarang jenis stanozolol.

Mereka ialah Muhamad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos.

Bekas jurulatih angkat berat kebangsaan, Zakaria Yusof bersetuju dengan tindakan PABM untuk memulihkan semula sukan angkat berat namun menggesa badan induk sukan terbabit mencari kaedah terbaik untuk menghapuskan gejala tidak sihat itu 100 peratus.

Oleh itu, Zakaria yang terkenal dalam melahirkan atlet terbaik negara menuntut PABM turun ke setiap negeri untuk melakukan pemantauan berkala bermula di peringat akar umbi.

“Saya bersetuju dengan tindakan PABM ‘menggantung’ segala aktiviti bagi memulihkan sukan angkat berat ini. Sebagai ahli gabungan negeri kita kena akur akan keputusan yang diputuskan ini.

“Penggantungan setahun adalah memeritkan bagi seseorang atlet dan dalam tempoh setahun ini saya harap PABM melakukan pemantauan secara serius di setiap negeri untuk memastikan atlet negara tidak mengulangi perkara yang sama.

“Bagi pendapat saya, PABM seharusnya memikirkan kaedah terbaik bagi mengekang masalah ini daripada berterusan. Jika kita hanya bijak menjatuhkan hukuman tetapi jalan penyelesaian tia­da, saya rasa ia adalah tindakan yang sia-sia.

“Oleh itu, PABM seharusnya melakukan perubahan dan turun di peringkat akar umbi melihat masalah yang dihadapi atlet itu sendiri. Langkah pencegahan perlu dilakukan.

“Saya juga rasa kecewa dan terkilan kerana sesetengah individu yang membuat silap, orang lain yang terkena tempiasnya. Kesian kepada atlet yang bertungkus lumus untuk ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos nanti juga .

“Sebagai jurulatih kita telah menjalankan tanggungjawab menasihati mereka kerana rata-rata atlet negara masih muda dan ada potensi untuk ke Olimpik,” kata bekas pembantu jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) itu.

Boleh dikatakan, peluang atlet negara untuk memburu tiket ke pentas Olimpik 2020 dilihat sukar apabila kesemua mereka perlu mengutip mata pada setiap kejohanan di peringkat antarabangsa.

Imbas kembali pada 2016, dua atlet kebangsaan Constantine Clement dan Mohd. Nasir Roslan didapati positif steroid ketika menjalani latihan di kem latihan pusat di China, April lepas dan digantung selama dua tahun.

Disusuli pula pemenang dua pi­ngat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Khairul Anuar Mohamad yang bersalah ke­rana positif steroid dan dikenakan penggantungan empat tahun, sekali gus menjadi atlet kedua menerima hukuman pa­ling berat.

Pada tahun 2015, Mohd. Azril Huzairi Ramli yang juga pemenang dua emas Sukma Perlis digantung oleh IWF selepas positif dengan d-methamphetamine.

Pada tahun 2014 pula, Jelinie Empera digantung dua tahun selepas positif anabolic steroid ketika menyertai Sukma Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN