CAIRO – Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) mengesahkan pemain penyerang, Mohamed Salah sudah kembali pulih sepenuhnya dan cergas untuk beraksi pada perlawanan kedua menentang pasukan tuan rumah, Rusia di Stadium Saint Petersburg awal pagi Rabu nanti.
Salah sebelum ini mengalami kecederaan serius pada bahu semasa aksi final Liga Juara-Juara antara Liverpool menentang Real Madrid di Kiev penghujung Mei lalu dan insiden tersebut menyebabkan skuad The Reds kehilangan tonggak utamanya itu sebelum mereka tewas 1-3.
Situasi tersebut menyebabkan ramai meragui penampilan Salah bersama skuad kebangsaan pada Piala Dunia 2018, namun EFA mengesahkan dia sudah bersedia sepenuhnya dan akan diturunkan pada perlawanan kedua Mesir yang dijadualkan bertemu Rusia bagi saingan Kumpulan A.
“Dia sudah berada dalam keadaan terbaik semasa pasukan berdepan Uruguay, namun jurulatih enggan mengambil sebarang risiko untuk menurunkannya pada pertembungan tersebut.
“Sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana dia baru sahaja pulih, jadi jurulatih mahu memberikan sedikit lagi masa kepadanya untuk berehat serta melakukan persediaan bagi berdepan Rusia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan EFA.
Mesir kini perlu berwaspada untuk berdepan pasukan tuan rumah selepas mereka menang 5-0 ketika bertemu Saudi Arabia Jumaat lalu manakala skuad The Pharaohs perlu mencatatkan keputusan positif bagi mengelakkan daripada tersingkir awal dalam saingan peringkat kumpulan A. – Agensi









