KEMERIAHAN suasana mempersiapkan rumah bagi menyambut kedatangan Syawal dan hidangan ketupat daun palas serta rendang ayam kampung oleh ibunya merupakan momen Hari Raya Aidilfitri terindah buat Haliza Maysuri.
Ujar Haliza, 41, jika tiada dua hidangan itu seolah-olah hari raya berasa tidak sempurna.
Anak bongsu daripada dua beradik itu juga sangat menggemari kuih dan biskut tradisional seperti baulu, tart nanas dan semperit.
Haliza yang merupakan pengasas Bawal Exclusive bersama suaminya, Mohd. Rosli Awang, 47, bukanlah dilahirkan dalam keluarga senang.
Jika kanak-kanak lain teruja membeli baju raya baharu, beliau hanya memakai baju lama kepunyaan kakak sulungnya.
Kini, hidupnya berubah apabila mengusahakan perniagaan Bawal Exclusive sejak 20 tahun lalu.
“Sekarang saya mempunyai sekurang-kurangnya empat persalinan baju raya memandangkan sebagai usahawan perlu menghadiri pelbagai majlis rumah terbuka,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Bawal Exclusive di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Bercerita mengenai rutin pada hari raya, Haliza memberitahu, setiap tahun mereka akan berada di Selangor pada malam raya dan bertolak pulang ke Pendang, Kedah pada waktu Subuh.
Sudah menjadi tradisi mereka sekeluarga untuk mengadakan rumah terbuka pada hari raya kedua di Pendang dengan memasak hidangan istimewa iaitu gulai kawah umbut pisang.
Pada tahun 2017, Bawal Exclusive mendapat perhatian ramai apabila menjual sehelai tudung berharga RM21,600 kepada seorang usahawan wanita dari Kelantan.
Baru-baru ini Bawal Exclusive menyiapkan tempahan tudung termewahnya yang berharga RM33,000 sehelai kepada usahawan sama.
Menyingkap kembali coretan hidup Haliza dan suaminya Mohd. Rosli ketika memulakan perniagaan menjual tudung di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur cukup meruntun jiwa.
Menurut Haliza, suaminya berpengalaman selama lima tahun bekerja di sebuah kedai tekstil di Singapura dengan melakukan pelbagai tugas seperti menjual, menjahit dan menjaga stor.
Mohd. Rosli menggunakan duit tabungan sebanyak RM25,000 untuk memulakan perniagaan di Jalan TAR dengan menyewa kedai sebanyak RM2,000 sebulan.
Pada awalnya, Mohd. Rosli yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu merantau ke Singapura untuk mencari duit bagi menyambung pengajiannya selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia.
Ringan tulang
Beliau yang bercita-cita menjadi peguam sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan kerana kesusahan hidup dan dibesarkan oleh ibu tunggal.
“Suami saya seorang yang pendiam tetapi ringan tulang menyebabkan dia disayangi majikannya.
“Di kedai itu majikannya yang lebih mesra dipanggil Abang Khalid banyak mengajar suami saya berniaga.
“Beliau menyarankan suami saya menjalankan perniagaan apabila pulang ke Malaysia,” cerita anak kelahiran Selangor itu.
Justeru, selepas merantau lima tahun di Kota Singa itu, Mohd. Rosli mengambil keputusan untuk berniaga tudung secara kecil-kecilan di Jalan TAR.
Bagaimanapun, ujian tiba apabila perniagaan tudung itu tidak mendapat sambutan.
Ia ekoran semua peniaga di Jalan TAR mendapat tudung daripada pembekal yang sama menyebabkan berlaku persaingan sengit terutama daripada peniaga Pakistan yang menjual tudung pada harga lebih murah.
Dalam tempoh setahun berniaga, mereka menempuhi pelbagai kepahitan termasuk sewa kedai tertunggak selama dua bulan.
“Pada suatu hari, ketika membonceng motosikal bersama suami, saya terlihat buah manggis yang dijual RM7 sekilogram.
“Saya yang sarat mengandung tujuh bulan hanya mengalirkan air mata kerana tahu suami tidak mampu membelinya ekoran perniagaan sangat teruk,” ceritanya dengan genangan air mata.
Dalam keperitan itu, pemilik kedai tersebut yang bernama Uncle Wong berbesar hati membenarkan pasangan itu terus menyewa tanpa meminta bayaran.
Ia menaikkan kembali semangat pasangan tersebut.
“Suami saya telah pergi ke Singapura untuk berjumpa dan meminta nasihat daripada bekas majikannya, Abang Khalid.
Identiti
“Di situlah dia mendapat idea untuk meletakkan kristal di tudung bagi mencipta identiti tersendiri,” jelasnya.
Pada awalnya, Mohd. Rosli membeli empat bungkus kristal Swarovski dan 20 helai kain tudung daripada pembekal dari Singapura.
Sebaik pulang ke Kuala Lumpur, Rosli yang berasal dari Pendang, Kedah itu menampal satu persatu kristal tersebut di tudung dengan menggunakan seterika dari pukul 8 malam hingga pukul 5 pagi.
Keesokannya, beliau meletakkan tudung yang berharga RM25 sehelai itu di kedai dan ia turut digayakan oleh Haliza.
Ternyata keunikan tudung tersebut mencuri pandangan pelanggan dan dalam sehari sahaja 20 tudung itu habis dijual.
Ia membuahkan hasil apabila pembekal di Masjid India membeli tudung tersebut secara borong.
“Kami membeli mesin di Singapura untuk mempercepatkan proses menampal kristal pada kain tudung serta mengambil pekerja seramai 14 orang dari Kedah,” ujarnya yang gemar memasak dan membaca buku motivasi pada masa lapang.
Haliza yang mempunyai dua orang cahaya mata sangat mengagumi sikap suaminya yang berpandangan jauh dan bijak mengatur strategi dalam perniagaan.
Ketika perniagaan semakin maju mereka diuji dengan kerugian sebanyak RM250,000 apabila ditipu oleh pembekal kain dari India.
Kain tudung yang sampai tidak seperti dijanjikan dan kualitinya sangat teruk sehingga tidak boleh digunakan.
Jelas Haliza, suaminya berpegang teguh kepada prinsip biar rugi, jangan menipu pelanggan.
Kenangan manis
Di sebalik kepahitan itu, ada kenangan manis yang tersemat kemas dalam ingatan pasangan tersebut.
“Sudah menjadi impian saya untuk pergi ke Austria dan berjumpa dengan pihak Swarovski tetapi apakan daya kami ini tidak berpendidikan tinggi dan berniaga kecil-kecilan sahaja.
“Suami berpesan jangan risau, kita buat sahaja kerja dan masanya pasti akan tiba,” tuturnya yang gemar memakai tudung rona pastel dan lembut.
Pada awal tahun 2011, wakil Swarovski menemui mereka di butik dan menawarkan Bawal Exclusive sebagai rakan jenama kerana rupa-rupanya syarikat tudung itu pemborong terbesar kristal tersebut di Asia Tenggara.
Pada tahun 2015, merupakan saat yang menggembirakan mereka apabila menerima kad jemputan bertatahkan Swarovski untuk menghadiri majlis ulang tahun ke-120 pengeluar kristal itu di Austria
“Saya berasa gembira dan teruja kerana duduk semeja dengan jenama-jenama besar seperti Channel dan Prada.
“Kami merupakan satu-satunya pasangan Melayu dan saya sahaja yang bertudung pada ketika itu,” ujarnya.
Satu lagi kenangan manis bagi mereka adalah menyambut ulang tahun Bawal Exclusive yang ke-20 tahun baru-baru ini.
Kini, mereka boleh berbangga kerana mampu memiliki bangunan sendiri bernilai RM6 juta dan 10 cawangan di beberapa negeri.
Selain itu, mereka turut mempunyai kilang sendiri di Puchong, Selangor.
Bahkan, perniagaan tersebut mencatatkan jualan sekitar RM300,000 sebulan.
Tudung Bawal Exclusive dijual pada harga RM60 hingga RM33,000 sehelai.
Berbicara mengenai rahsia kejayaan, Haliza berkata, hati hendaklah bersih, bekerja kuat, jangan tamak, berdisiplin dan positif.
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Haliza akan memasak untuk keluarga kerana percaya air tangannya itu dapat mengeratkan kasih sayang mereka sekeluarga.
Berkongsi rahsia kecantikan diri, Haliza mengamalkan minum jus nanas tanpa gula setiap malam.









