“PERKARA paling penting adalah memberi tentangan terbaik dan kemudian Tuhan serta (Lionel) Messi akan menentukan sama ada kami mampu menjulang Piala Dunia”
Itu kata-kata Presiden Argentina, Mauricio Macri ketika ditanya mengenai peluang negaranya untuk merangkul kejuaraan dunia di Rusia, komen yang pastinya memberi tekanan tambahan kepada Messi.
Walaupun memiliki karier bola sepak yang gemilang bersama Barcelona, Messi setakat ini masih gagal membantu Argentina mencatat kemenangan dalam kejohanan utama.
Peluang terbaiknya adalah ketika negara itu melangkah ke final Piala Dunia 2014, tetapi tewas kepada Jerman.
Skuad La Albiceleste juga melayakkan diri ke perlawanan akhir Copa America dua kali berturut-turut pada 2015 dan 2016, namun berakhir dengan kekecewaan.
Memandangkan Messi akan berusia 31 tahun pada 24 Jun ini, Piala Dunia kali ini dilihat sebagai peluang terakhirnya untuk menjulang trofi yang diimpikan semua pemain bola sepak di muka bumi.
Walau bagaimanapun hubungan ‘rumit’ antara Messi dan penyokong Argentina menjadikan keadaan bertambah sukar buat Pemain Terbaik Dunia lima kali itu.
Dilahirkan di Rosario, Argentina, Messi meninggalkan tanahairnya seawal usia 13 tahun untuk mendapatkan pendidikan serta bantuan perubatan terbaik di akademi bola sepak Barcelona.
Itu menimbulkan persepsi dalam kalangan peminat Argentina bahawa dia mengerah segala-galanya kepada kelab lebih daripada negara, persepsi yang hanya boleh dipadam Messi andai menjulang trofi di Rusia.
Sudah memiliki 126 cap dan meledak 64 gol antarabangsa, Messi telah membuktikan kesetiaannya dengan membawa Argentina muncul juara Olimpik 2008.
Namun bagi peminat, kejayaan itu tidak mencukupi. Mereka mahukan sesuatu yang lebih besar daripada seorang pemain yang telah memenangi segala-galanya bersama kelab iaitu trofi Eropah, Piala Dunia Kelab serta La Liga.
Membuat penampilan keempat dalam Piala Dunia, kapten Argentina itu hampir pasti akan berada dalam kesebelasan utama untuk setiap perlawanan.
Gandingan serangannya bagaimanapun mampu berubah-ubah, sama ada Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala (Juventus) atau Sergio Aguero (Manchester City).
Diletak dalam Kumpulan D bersama Croatia, Nigeria dan Iceland, Argentina sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke pusingan kedua namun tekanan sudah menampakkan kesannya kepada Messi apabila dia gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika Argentina seri 1-1 dengan pasukan kerdil Iceland semalam.










