Rundingan: Trump jangka kejayaan besar - Utusan Malaysia

Rundingan: Trump jangka kejayaan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 8 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan ‘sikap’ lebih penting daripada persiapan rapi menje­lang sidang kemuncak bersama Korea Utara berhubung pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea pada minggu depan.

Trump juga menyifatkan pertemuannya dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un nanti sebagai ‘rundingan mesra’ dan percaya ‘Jong-un turut mahu melakukan sesuatu’.

“Saya tidak fikir perlu melakukan persiapan rapi. Ini berkaitan sikap dan keinginan untuk memastikan perkara itu dimuktamadkan,” jelas Trump.

Tambah Trump, pihaknya menjangkakan ‘kejayaan besar’ akan dicapai sewaktu bertemu Jong-un di Singapura pada Selasa ini dengan perbincangan itu bakal memulakan proses yang membawa kepada penyelesaian berhubung isu nuklear.

“Saya berpendapat ini bukan perjanjian satu hala. Mereka perlu melucutkan senjata. Jika mereka enggan, keputusan itu tidak boleh diterima dan kami tidak akan menarik balik sekatan terhadap mereka,” tegas Trump sambil meramalkan beliau boleh mengetahui sama ada Jong-un serius untuk berunding dengan AS atau tidak.

Presiden AS itu yang menggunakan istilah ‘desakan maksimum’ untuk menggambarkan sekatan AS terhadap Korea Utara berkata, AS akan menjadi indikator kepada kejayaan atau kegagalan rundi­ngan tersebut.

“Kami tidak menggunakan istilah itu lagi kerana kami akan mengadakan rundingan mesra. Mungkin selepas rundingan itu, saya akan menggunakannya se­kali lagi. Anda akan tahu sebaik mana rundingan itu berjalan. Sekiranya anda mendengar ‘kami akan melaksanakan desakan mak­simum’, kamu akan tahu rundingan itu tidak berjalan lancar,” kata Trump.

Selain itu Presiden AS itu, berkata, timbul kemungkinan beliau dan Jong-un akan menandatangani deklarasi untuk menamatkan Perang Korea.

Perang Korea yang berlaku pada 1950 hingga 1953 berakhir dengan gencatan senjata tetapi bukan perjanjian damai.

Terdahulu, beliau ketika me­nyambut Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di White House menjelaskan, pihaknya dan Abe akan membincangkan isu Korea Utara dan perdagangan.

Abe turut melahirkan harapan persidangan itu akan menjadi detik perubahan dramatik dan bersejarah untuk rantau timur laut Asia.

Dalam perkembangan ber­kaitan, seorang lelaki yang menyerupai Jong-un disoal siasat ketika tiba di Singapura hari ini.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Howard X sebelum ini pernah muncul bersama-sama ‘pelanduk dua serupa’ Trump pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang di Korea Selatan sebelum ini.

“Mereka memeriksa beg saya dan kemudiannya memberitahu ini bukan waktu sesuai untuk berada di Singapura serta saya diarahkan untuk menjauhkan diri dari Pulau Sentosa dan Hotel Shangri-La,” kata Howard X menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook. – AP/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN