DUNGUN – Hasrat seorang remaja untuk bermandi-manda bersama rakan-rakannya di sebuah pusat rekreasi air terjun bertukar tragedi selepas dia maut dalam kemalangan di Jalan Paka – Al-Mukhtafi Bilah Shah dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, Che Wan Muhammad Akmal Ikbar Wan Mohd. Rosli, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, remaja terbabit dikatakan berkonvoi dengan menaiki motosikal bersama beberapa rakannya dari Kampung Cacar menuju ke Pusat Rekreasi Air Terjun Chemerong dekat sini.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa telah bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang dalam perjalanan menuju ke Paka.
“Akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan tercampak ke cermin hadapan MPV berkenaan dan mengalami cedera parah pada bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Baharudin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











