KUALA LUMPUR 21 Jun – Seorang remaja maut manakala seorang lagi terselamat selepas lemas ketika mandi-manda bersama enam lagi rakan mereka di Air Terjun Sungai Kedondong, Jalan Ulu Yam, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang maut ialah Muhammad Shazwan Norhan, 19, manakala rakannya yang terselamat ialah Muhammad Hanif Ikhwan Sabarudin, 19.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira pukul 4.42 petang sebelum gerakan mencari mangsa dilakukan 20 minit kemudian.
Ujarnya, Muhammad Shazwan dikatakan terjun di kawasan tersebut bersama-sama Muhammad Hanif Ikhwan sebelum dia dilihat terkapai-kapai dibawa arus deras.
“Cubaan rakan-rakan mangsa menyelamatkan mereka berdua gagal selepas hanya Muhammad Hanif sahaja berjaya diselamatkan.
“Mayat Muhammad Shazwan ditemukan terapung beberapa minit kemudian di tepi sungai dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya, hari ini.
Tambah jurucakap itu, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE










