NIZHNY NOVGOROD 17 Jun – Anda pernah gagal dalam sepakan penalti? Tidak mengapa kerana Lionel Messi juga mengalaminya semalam.
Ketika seluruh dunia memerhatikan dia dalam perlawanan pembukaan Argentina dalam Piala Dunia menentang Iceland, Messi yang biasanya hebat telah melepaskan tendangan lemah dari titik penalti yang berjaya diselamatkan, dan Argentina akhirnya hanya mampu seri 1-1.
Kegagalan Messi lebih pedih kerana pesaing tradisinya untuk gelaran pemain terbaik dunia iaitu Cristiano Ronaldo dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti hanya sehari sebelumnya.
Pada hari yang menyaksikan lima sepakan penalti diberikan semalam, pemain Peru, Christian Cueva kemudian mengulangi kegagalan Messi, malah melakukannya dengan cara lebih buruk apabila bola sepakannya melayang tinggi melepasi palang dalam perlawanan yang dimenangi Denmark 1-0.
Messi meninggalkan padang dengan wajah muram, Cueva pula sambil menangis.
“Sungguh menyakitkan kerana itu satu-satunya peluang keemasan. Saya mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas kegagalan Argentina meraih tiga mata penting.
“Kami masih belum hilang harapan dengan keputusan seri, kami masih memegang teguh misi kami. Saya fikir kami berhak menang kerana kami bekerja keras untuk melepasi benteng pertahanan Iceland, namun kami gagal,” kata pemain terbaik dunia lima kali, Messi.
Lima sepakan penalti secara keseluruhan semalam adalah kurang satu daripada jumlah yang diberikan pada 24 Jun 1998 ketika Piala Dunia berlangsung di Perancis.
Pemain terbaik perlawanan iaitu penjaga gol Iceland, Hannes Halldorsson pula mendedahkan dia bukan sahaja telah mengkaji sepakan penalti Messi tetapi turut memperbaiki pergerakannya untuk menghalang percubaan bintang Argentina itu.
“Saya turut meneliti bagaimana tindakan saya ketika penalti terdahulu, jadi saya cuba menyelami fikiran mereka, bagaimana fikiran mereka ke atas saya,” kata Halldorsson, yang menerpa ke arah yang betul untuk menghalang sepakan Messi, yang kini telah gagal dalam empat sepakan daripada tujuh penalti yang diberikan musim ini. – AGENSI











