Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, ini disebabkan hal tersebut dilihat menyukarkan para pengusaha restoran untuk mendapatkan tukang masak tempatan yang boleh memenuhi kriteria mereka.
“Kebanyakan pengusaha restoran ingin memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, malah sanggup membayar dengan gaji yang lebih tinggi.
“Namun, kebarangkalian untuk rakyat tempatan berminat menjadi tukang masak sangat kurang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran bahawa semua restoran di negara ini perlu mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini sebelum dikuatkuasakan pada 1 Januari depan.
Tambah Ayoob Khan lagi, isu kebersihan yang dibangkitkan mungkin tidak relevan kerana pihak restoran akan memastikan setiap pekerja menerima suntikan vaksin dan diberi kursus pengendalian makanan serta perkhidmatan pelanggan.
“Kami agak khuatir sekiranya permintaan rakyat tempatan untuk dibayar dengan gaji yang lebih tinggi, sekali gus kos meningkat, selain turut mempengaruhi harga makanan,” katanya.
Jelas Ayoob Khan, pihak persatuan akan membuat rayuan mengenai peraturan baharu itu kerana ia masih dalam perbincangan oleh pihak kerajaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Jurumasak Pulau Pinang, Audee Cheah tidak menafikan pengusaha restoran bakal menghadapi masalah untuk mendapatkan tukang masak tempatan.
“Semua restoran di negara ini mempunyai masalah mencari tukang masak tempatan. Banyak tukang masak tempatan lebih berminat bekerja di Singapura.
“Kami mempunyai banyak restoran di Malaysia. Setiap industri makanan memerlukan pekerja, namun kami sukar mendapatkan tukang masak tempatan,” katanya.










