RAYA SEKADAR SOLAT AIDILFITRI - Utusan Malaysia

RAYA SEKADAR SOLAT AIDILFITRI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERAIKAN Aidilfitri bagi golongan miskin bandar atau gelandangan mungkin sudah mencukupi jika dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau atau masjid berdekatan.

Untuk pulang ke kampung halaman mungkin bukan lagi satu keutamaan setiap kali tiba Aidilfitri. Bukan hanya kerana ibu bapa di kampung sudah tiada, tetapi juga duit yang ada perlu digunakan untuk menampung kos hidup di bandar.

Bagi seorang daripada golongan itu, Ridzuan Ibrahim, 61, mengakui yang dia beraya seorang diri di Kuala Lumpur sejak kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu.

Dia tidak menafikan ada rasa sedih dan sebak setiap kali mendengar lagu raya atau takbir di masjid, tetapi terpaksa menerima hakikat hidupnya sekarang.

Malah ada ketikanya selepas solat sunat Aidilfitri, dia merayau-rayau sekitar Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur untuk mencari apa sahaja yang boleh mendatangkan sumber pendapatan.

“Saya memang ada terima bantuan bulanan dari Baitulmal dan hasil derma orang ramai tetapi hidup di kota raya seperti Kuala Lumpur, kita perlu gandakan usaha untuk cari duit lebih,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas program persiapan raya bersama gelandangan anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Econsave Sdn. Bhd. di Econsave Setapak Sentral, Taman Danau, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kira-kira 30 keluarga miskin bandar dan gelandangan yang tinggal sekitar jalan TAR, Kuala Lumpur terlibat. Setiap keluarga diberikan baucar tunai RM100 untuk membeli apa sahaja barangan keperluan Aidilfitri.

Program itu dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Norsham Abu Bakar dan Pengurus Cawangan Festival City Econsave Sdn. Bhd., Nurul Asyikin Rusli.

Seorang lagi, Siti Zaleha Abd. Rahman, 48, turut melalui pengalaman sama setelah suaminya ditimpa kemalangan jalan raya kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, kemalangan itu bukan hanya menyebabkan suami sukar mencari pekerjaan bersesuaian, tetapi mendorongnya bekerja lebih gigih agar pendapatan mereka tidak terjejas.

Justeru, mereka yang dikurniakan tiga orang anak itu terpaksa meraikan Aidilfitri di sebuah bilik yang disewa mereka di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, walaupun keinginan untuk pulang beraya di kampung sentiasa mendalam.

“Kami hanya solat raya dan selepas itu, duduk dalam bilik sambil menikmati juadah Aidilfitri bersama-sama.

“Nak balik kampung memang ada, tetapi duitnya tidak cukup,” kata anak kelahiran Besut, Terengganu itu dalam nada yang begitu sebak sekali.

Suasana kehidupan golongan berkenaan di tengah-tengah ibu kota tersebut diakui sendiri oleh seorang aktiviti Rose2Rose (agensi bawah MyCare), Hazalina Ghazali.

Beliau yang ditemui selepas program itu memberitahu, mereka hanya mengisi masa terluang dengan merayau-rayau atau mencari bahan buangan yang boleh dijual.

“Mereka sebenarnya ada menyewa rumah atau bilik tetapi penempatan itu bukan hanya tempat tinggal mereka suami isteri tetapi anak yang sudah dewasa, menantu dan cucu-cucu.

“Jadi, keadaan itu menyebabkan mereka lebih selesa berada di luar rumah atau menghabiskan masa dengan merayau sekitar Jalan TAR atau Chow Kit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN