KUALA LUMPUR 17 Jun – Pengumuman Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO menggambarkan proses pendemokrasian yang sihat demi memastikan perjuangan parti keramat itu terus relevan.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kewibawaan dan pengalaman yang ada pada Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li itu diyakini mampu mengubah ‘perjalanan’ perjuangan parti itu memandangkan beliau adalah orang lama dan ‘masak’ dengan keadaan poliik di negara ini.
“Ini adalah masa terbaik kepada Ku Li untuk mendemokrasikan parti itu semula selepas dilanda krisis keyakinan dalam kalangan ahlinya sendiri, jadi dengan pengalaman dan rekod cemerlang yang dimiliki oleh tokoh berusia 81 tahun itu diyakini mampu mengembalikan kepercayaan ahli kepada UMNO.
“Dengan pengalaman yang dimiliki dan faham dengan kerenah pihak lawan, saya yakin Ku Li mampu mengemudikan parti tersebut dengan lebih baik namun bukan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tetapi sebaliknya mahu bertanggungjawab mengembalikan ‘kilauan’ yang ada dalam parti ini semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Tengku Razaleigh mengumumkan keputusannya bertanding merebut jawatan Presiden dalam pemilihan parti pada 30 Jun ini demi kepentingan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik nasional.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, tidak timbul isu perebutan jawatan apabila Tengku Razaleigh menawarkan diri memandangkan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri secara terbuka menerima pertandingan sihat dan menganggap penonjolan itu sebagai komitmen kepada UMNO.
Sementara itu, veteran Wanita UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail turut senada dan menganggap UMNO memerlukan pemimpin yang mampu membina semula parti selepas Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau berkata, kemunculan Ku Li itu membuka ruang kepada pertandingan secara sihat berbanding amalan sebelum ini apabila jawatan tertinggi tidak dipertandingkan semata-mata untuk mengekalkan perpaduan parti sehingga menyukarkan mana-mana ahli yang berkelayakan untuk menjadi calon.










