LEBIH tiga tahun lalu, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri bersalah membunuh seorang model dan penterjemah Mongolia bernama Altantuya Shaaribuu antara pukul 10 malam 19 Oktober 2006 dan pukul 1 pagi 20 Oktober 2006.
Keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya (pada 23 Ogos 2013) yang mendapati kedua-dua mereka tidak bersalah telah diketepikan. Dan dengan itu sabitan kes oleh Hakim Mohd. Zaki Yasin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 dikekalkan.
Sewaktu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan sabitannya itu, Azilah ada hadir di mahkamah bersama peguamnya tetapi Sirul tidak kelihatan. Mengikut peguamnya, Kamarul Hisham, kali terakhir dia bertemu anak guamnya adalah kira-kira enam bulan sebelum itu.
Mengikut laporan media tempatan, Sirul telah melarikan diri ke Australia. Ibu Sirul, Piah Ahmad, memaklumkan wartawan bahawa dia sudah lama tidak berhubung dengan anak lelakinya.
Ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan itu, satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Sirul. Mengikut Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohmad Salleh, pihak polis negara ini akan menghubungi pihak polis Australia untuk mendapatkan pengesahan sama ada Sirul ada di negara itu. Andainya Sirul ada di situ, persoalannya apakah dia boleh diekstradisi dan dibawa pulang ke negara ini? Malaysia telah memeterai perjanjian ekstradisi dengan Australia pada tahun 2006.
Pada 15 Januari 2015, akhbar Sydney Morning Herald memetik jurucakap Jabatan Peguam Negara Australia sebagai berkata undang-undang ekstradisi Australia melarang seorang itu dihantar balik ke negara asalnya (atau ke sebuah negara asing) bagi menjalani hukuman setelah disabitkan kesalahan yang membawa hukuman mati, kecuali negara tersebut memberi akujanji hukuman mati itu tidak akan dilaksanakan ke atas orang yang diekstradisi itu.
Undang-undang ekstradisi di peringkat antarabangsa
Artikel 11 Konvensyen Eropah Mengenai Ekstradisi 1957 menyatakan bahawa “If the offence for which extradition is requested is punishable by death under the law of the requesting Party, and if in respect of such offence the death-penalty is not provided for by the law of the requested Party or is not normally carried out, extradition may be refused unless the requesting Party gives such assurance as the requested Party considers sufficient that the death-penalty will not be carried out.”
Konvensyen Eropah ini tidak terpakai di Australia dan Malaysia tetapi Artikel 11 di atas mencerminkan kedudukan undang-undang antarabangsa. Banyak negara termasuk Australia, Kanada, New Zealand, Afrika Selatan dan kebanyakan negara Eropah tidak membenarkan proses ekstradisi andainya orang yang diekstradisi itu berdepan dengan hukuman mati, kecuali negara yang memohon ekstradisi itu terlebih dahulu berjanji hukuman mati itu tidak akan dilaksanakan ke atas orang yang diekstradisi itu.
Dalam satu kes di Kanada bernama Minister of Justice v. Burns and Rafay (2001), dua warga negara Kanada telah melakukan pembunuhan di Washington, Amerika Syarikat. Selepas melakukan pembunuhan itu, mereka telah melarikan diri kembali ke Kanada.
Apabila prosiding jenayah kes bunuh dimulakan ke atas mereka di Washington (satu kesalahan yang membawa hukuman mati) dan permohonan ekstradisi dibuat untuk membawa mereka kembali ke Amerika, Menteri Keadilan Kanada telah menandatangani perintah ekstradisi tetapi beliau gagal mendapatkan akujanji dari Amerika bahawa hukuman mati itu tidak akan dilaksanakan sekiranya kes berakhir dengan sabitan.
Kedua mereka kemudian merayu dan Mahkamah Agong Kanada memutuskan bahawa di bawah undang-undang Kanada yang terkandung dalam Artikel 7 Piagam Hak dan Kebebasan Kanada (Canadian Charter of Rights and Freedoms), kedua-duanya tidak boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat sehinggalah negara itu memberi akujanjinya hukuman mati tidak akan dikenakan ke atas mereka andainya kes berakhir dengan sabitan.
Dalam satu kes di Itali bernama Pietro Venezia v. Ministero di Grazia & Giustizia (1996) Mahkamah Perlembagaan Itali memutuskan bahawa negara itu melarang sama sekali sesiapa pun diekstradisi ke negara lain di mana hukuman mati masih lagi berkuatkuasa di negara tersebut.
Dalam kes lain di Afrika Selatan bernama Minister of Home Affairs and Others v Tsebe and Others (2012), Mahkamah Perlembagaan negara itu melarang dua orang diekstradisi ke Botswana atas prinsip yang sama, kecuali Afrika Selatan telah menerima akujanji dari Botswana bahawa hukuman mati tidak akan dilaksanakan ke atas mereka yang diekstradisi itu.
Amalan yang sama turut diikuti dan diamalkan oleh mahkamah Belanda dan Switzerland. Pada 5 April 2003, kerajaan Britain mengumumkan bahawa negara itu tidak akan membenarkan sesiapa pun diekstradisi ke Amerika Syarikat andainya orang yang diekstradisi itu akan berdepan dengan hukuman mati.
Pada 8 Jun lalu Kerajaan Malaysia menyatakan ia belum lagi mengemukakan apa-apa permohonan untuk mengekstradisi Sirul dari Australia. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata “Kita akan pertimbang supaya hukuman ke atas Sirul dikurangkan supaya dia dapat kembali ke Malaysia.” Beliau berkata demikian apabila ditanya pendapatnya mengenai laporan akhbar The Guardian yang menyatakan kerajaan Australia telah bersetuju mengekstradisi Sirul.
Mengikut Hannah-Ellis Petersen yang menulis perkara ini dalam portal berita akhbar tersebut – “A source said the Malaysian government had recently approached Australia to request that Sirul Azhar Umar be brought back to Malaysia, and that the plan had been given the green light after Malaysia agreed to cover the costs. It is believed Sirul will leave Australia within a month”.
Kesimpulannya, berasaskan undang-undang ekstradisi antarabangsa seperti dihuraikan di atas tadi, kemungkinan Sirul akan dapat diekstradisi kembali ke negara ini adalah tipis sekali kecuali Malaysia bersedia memberi akujanjinya kepada Australia bahawa Sirul tidak akan menjalani hukuman mati setelah ia kembali ke negara ini.
Hakikatnya yang tidak boleh kita nafikan sekarang adalah bahawa hukuman mati ke atas Sirul itu telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 lalu. Andainya kerajaan Malaysia bersedia memberi akujanjinya kepada Australia untuk tidak melaksanakan hukuman mati ke atas Sirul selepas ia kembali nanti ke negara ini, isu perundangan ini mesti terlebih dahulu diselesaikan.
Di sinilah kebijaksanaan perlu diseimbangkan dengan prinsip keadilan.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.










