KUALA LUMPUR 22 Jun – Projek pembangunan hartanah bernilai RM6 bilion milik Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) yang sepatutnya dimulakan awal tahun ini kini dilewatkan ke awal tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, kelewatan pembangunan hartanah di atas tanah miliknya berdekatan stesen-stesen kereta api Lembah Klang itu adalah ekoran beberapa isu termasuk kekangan kewangan.
“Kita sedang mengatasi masalah itu dengan melihat sumber-sumber lain untuk suntikan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.
Projek pembangunan hartanah berkenaan merupakan satu daripada inisiatif bagi meningkatkan pendapatan dalam segmen bukan pengangkutan. – UTUSAN ONLINE









