Presiden UMNO perlu bertindak atas kemahuan ahli - Ku Li - Utusan Malaysia

Presiden UMNO perlu bertindak atas kemahuan ahli – Ku Li

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Jun – Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak mahu lagi sebarang keputusan parti dibuat atas kemahuan presiden semata-mata sebaliknya dilakukan atas kehendak ahli.

Katanya, sebarang kemahuan ahli ketika ini iaitu pembaharuan parti secara menyeluruh perlu diambil kira bagi memastikan UMNO berfungsi dengan baik dan berkesan.

Disebabkan itu, beliau sendiri belum bersedia untuk mengetengahkan ideanya sebaliknya mahu membincangkan mengenainya bersama pucuk pimpinan parti lain terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu lagi bawa satu-satu perkara atas kemahuan seorang presiden atau perseorangan, kita mesti bertindak sebagai satu kumpulan, kalau saya cakap sekarang, itu idea saya seorang sahaja.

“Tindakan yang saya nak cadangkan adalah perkara yang tidak semestinya didokong bersama oleh semua pimpinan parti, sebab itu saya tak boleh nak jelaskan sehingga majlis tertinggi dibentuk dalam pemilihan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ramah mesra bersama warga UMNO Wilayah Persekutuan di kediamannya, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN