KLANG 22 Jun – Lima tukang urut wanita warga asing serta seorang warga tempatan diberkas dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Gambus 2, Taman Desawan, di sini awal pagi ini.
Serbuan di pusat urut kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia di antara 25 hingga 31 tahun yang mana premis terbabit dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dilakukan setelah pihaknya memperoleh maklumat risikan berkaitan operasi premis tersebut yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.
Malah, premis itu katanya pernah serbu sebanyak 10 kali sebelum ini dan didapati menawarkan khidmat urut di antara RM50 hingga RM100 bagi setiap sesi.
“Daripada lima tukang urut wanita yang ditahan, empat adalah warganegara Indonesia manakala seorang lagi merupakan warganegara Vietnam. Seorang lagi warga tempatan yang ditahan dipercayai penjaga premis terbabit.
“Pada masa sama, ketika serbuan dilakukan kita menemukan banyak tisu dan tuala di premis terbabit yang mana kita percaya ada kaitan dengan aktiviti khidmat seks,” katanya di sini hari ini.
Tambah Shamsul Amar, hasil siasatan mendapati, premis terbabit turut menyediakan laluan rahsia kepada pelanggan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa selain memasang tiga pintu besi dari dalam sehingga memaksa pihaknya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Kes itu menurutnya di siasat si bawah Seksyen 55B dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959. – UTUSAN ONLINE










