KUCHING 22 Jun – Seorang lelaki dipercayai pengedar berjaya ditahan polis dengan merampas dadah diaanggarkan bernilai RM257,025 dalam satu serbuan di MJC, Courtyard Sanctuary Apartment Batu Kawa di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menahan suspek berusia 26 tahun bersama dadah jenis syabu dan pil ekstasi.
Ketua JSJN negeri, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, serbuan tersebut adalah hasil maklumat dan risikan yang dibuat sebelum itu.
Katanya, polis menemukan dadah jenis syabu seberat 535 gram dan 4,980 biji pil ekstasi yang seberat 1,450 gram dalam pemeriksaan di kediaman berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM257,025 iaitu RM80,250 (syabu) dan RM249,000 (pil ekstasi).
“Polis juga merampas wang tunai sebanyak RM4,037 disyaki hasil kegiatan pengedaran suspek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, polis juga merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan anggaran nilai semasa RM60,000 daripada suspek.
“Selain itu, sebentuk cincin emas dengan anggaran nilai RM4,194 dan sepasang anting-anting dengan nilai RM1,362 turut dirampas.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” tegasnya.
Menurutnya, suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – UTUSAN ONLINE









