KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur memohon bantuan orang awam untuk mengesan kedudukan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes khianat menggunakan api.
Pegawai Komunikasi Korporat Polis Kuala Lumpur, Inspektor Wan Faraheeda Wan Muhamad Saleh berkata, individu yang dicari itu ialah M. Buvaneswaran, 37, yang turut dikenali dengan gelaran Apoi.
“Lelaki itu dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan disiasat bersabit laporan yang diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield.
“Kali terakhir individu itu dilihat di alamat No. 343, Taman Tan Yew Lai, Batu 6, Jalan Puchong, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kedudukan suspek agar menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Brickfields, Inspektor Mohd Razif Karim di talian 03-90512222 atau 013-9661566 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 (sambungan: 0585) atau hadir sendiri ke mana-mana balai polis yang berhampiran. – K! ONLINE










