Pilihan Ramadan selebriti - Utusan Malaysia

Pilihan Ramadan selebriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAI ada magnet yang menarik hatinya, setiap kali tiba bulan Ramadan pengacara dan pelawak terkenal, Ahmad Nabil Ahmad, 35, seakan terpanggil untuk menjejakkan kaki ke Mekah. Biarpun jadual kerjanya cukup padat, Nabil enggan berkompromi soal mengutip pahala di bulan Ramadan.

Selepas merasai sendiri kemanisan sambutan Ramadan di Tanah Suci pada umrah pertamanya lima tahun lalu, Nabil bertekad mahu mengulang pengalaman tersebut setiap tahun. Berkat rezeki yang murah, tahun ini merupakan kali kelima Nabil akan mengerjakan umrah pada bulan Ramadan.

Mengikut perancangan Nabil bersama isteri, Nazirah Ayub, dijangka bertolak ke Mekah pada 6 Jun ini dan akan kembali ke tanah air sehari sebelum sambutan Aidilfitri yang jatuh pada 15 Jun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang setiap tahun saya ingin menunaikan umrah pada bulan Ramadan, hati terasa rindu. Apatah lagi bulan Ramadan pahala yang diberi berganda, jadi saya ingin mengambil peluang itu.

“Umrah pertama saya adalah pada bulan Ramadan lima tahun lalu. Sejak itu, saya terasa dipanggil-panggil untuk ke Mekah setiap kali Ramadan. Walaupun sibuk, saya akan kosongkan jadual pada penghujung Ramadan untuk menunaikan umrah. Sudah diberi rezeki, rugi bagi saya kalau tidak direbut peluang untuk mendapat pahala berganda itu,” kata Nabil.

Sungguhpun begitu, Nabil yang sibuk sepanjang Ramadan dengan penggambaran pelbagai program raya antaranya MeleTOP Raya, Gegar Vaganza Raya dan sebuah supertele terbitan syarikat produksinya yang akan disiarkan pada Aidilfitri iaitu The Hantus berkata, cabaran utama baginya sepanjang bulan mulia ini adalah kesabaran.

“Tiada istilah berehat untuk saya. Selagi ada kerja saya lakukan meskipun pada bulan Ramadan. Cabaran utama untuk saya sepanjang Ramadan adalah cuba untuk bersabar. Saya memang biasa cakap lepas ketika mengacara, jadi untuk mengawal pertuturan dan dalam masa sama buat lawak memang agak sukar,” ujar Nabil.

 

Hairul Azreen berpuasa di Turki

Buat pelakon Hairul Azreen, tahun ini merupakan Ramadan paling sibuk buatnya kerana terlibat filem Paskal. Lebih mencabar, Hairul terpaksa menjalani ibadah puasa di set penggambaran filem aksi tersebut yang menjalani penggambaran di Turki selama seminggu baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Hairul, ini bukan kali pertama dia menjalani ibadah puasa di perantauan. Kali pertama berpuasa di luar negara adalah sekitar empat tahun lalu di Barcelona, Sepanyol kerana terlibat dengan penggambaran program percutian bersama pelakon Kamal Adli dan Fizo Omar.

“Alhamdulillah ini kali kedua saya merasai pengalaman berpuasa di luar negara. Bagi saya tiada bezanya dengan berpuasa di Malaysia. Cuma saya berpuasa paling lama pada hari pertama tiba di Turki. Hal ini kerana waktu Malaysia cepat lima jam daripada Turki. Puasa di sana lebih 17 jam. Jadi, saya terpaksa berbuka puasa mengikut waktu Turki yang lewat ke belakang dari Malaysia,” ujar Hairul.

Cabaran yang dihadapi Hairul adalah cepat keletihan memandangkan dia terpaksa berlakon sebagai seorang tentera dalam filem tersebut.

“Saya agak bernasib baik kerana ketika penggambaran filem di Turki cuaca sejuk. Namun, saya agak keletihan kerana berlakon filem aksi yang memerlukan banyak tenaga,” kongsi suami kepada pelakon Hanis Zalikha itu lagi.

 

Andi Bernadee lancar lagu sahur

Sementara itu, penyanyi Andi Bernadee mengambil kesempatan pada bulan Ramadan untuk melancarkan single berjudul Semalam Sahur Di Mana yang telah dilancarkan pada 25 Mei lalu. Lagi bergenre hip hop yang mengangkat tema bersahur itu merupakan satu percubaan Andi sementelah kebanyakan penyanyi hanya memberi fokus kepada sambutan Aidilfitri.

Biarpun single berkenaan baru dilancarkan ia mendapat sambutan hangat daripada peminatnya.

“Biasanya pada bulan Ramadan kita selalu fokus kepada waktu berbuka puasa seperti apa menu berbuka dan di mana lokasi berbuka. Jadi, kali ini saya ingin tekankan tentang kepentingan waktu sahur pula. Mungkin ia akan menjadi lagu yang wajib didengar setiap kali tiba Ramadan pada masa akan datang,” ujar Andi.

Sungguhpun begitu, lagu Semalam Sahur Di Mana merupakan rakaman semula daripada lagu asal nyanyian dan ciptaan penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo. Namun, lagu tersebut telah diberi nafas baru oleh Ikhwan dan lirik digubah semula oleh Omar K.

“Dalam lagu asal, muziknya lebih kepada rentak EDM, tetapi ia diubah mengikut citarasa peminat muzik tempatan dan lirik pula sesuai dengan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia,” jelasnya.

Semalam Sahur Di Mana boleh didapati dalam platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan Apple Music bermula 25 Mei lalu.

 

Janna Nick ke Rusia

Seorang lagi selebriti yang begitu sibuk pada bulan Ramadan adalah Janna Nick. Selain sibuk di set penggambaran drama Hingga Ke Jannah bersama Fahrin Ahmad sepanjang Ramadan, Janna mendedahkan buat pertama kalinya dia bakal merasai pengalaman berpuasa dan menyambut Aidilfitri di Moscow, Rusia bersempena acara Piala Dunia FIFA 2018.

Janna akan berangkat ke Rusia empat hari sebelum sambutan Aidilfitri. Pemergiannya ke Rusia adalah di atas tiket sebagai duta telefon bimbit Vivo yang merupakan penaja utama kejohanan bola sepak tersebut.

“Saya akan ke Rusia bersama pemenang yang menyertai peraduan anjuran Vivo. Mengikut perancangan saya akan bertolak ke Rusia empat hari sebelum sambutan Aidilfitri dan pulang ke Malaysia pada raya keempat.

“Walaupun saya pasti sedih di pagi raya kerana akan teringat keluarga dan makanan di Malaysia tetapi dalam masa sama cukup teruja untuk menyaksikan kejohanan paling berprestij di dunia. Ditambah saya merupakan peminat bola sepak, peluang keemasan untuk menyaksikan perlawanan pembukaan tidak akan dilepaskan,” kata Janna.

Dalam pada itu Janna memberitahu, tidak ada sebab untuknya memperlahankan aktiviti seni pada bulan Ramadan. Malah saban tahun, jadual anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu sentiasa padat pada bulan Ramadan.

“Saya menerima rezeki yang datang tidak kira bulan Ramadan atau pun hari biasa. Namun, kesibukan tidak membataskan saya untuk menjalankan ibadah pada bulan Ramadan. Kerja tetap diteruskan seperti biasa, tiada istilah berehat untuk saya dan tanggungjawab sebagai orang Islam perlu berjalan seiring barulah kehidupan seimbang,” kongsi Janna.

 

Projek amal Amyra Rosli

Berbeza pula dengan pelakon Amyra Rosli yang namanya kini meledak menerusi drama rantaian Nur. Meskipun kembali popular selepas berehat selama setahun kerana hamil dan melahirkan anak sulungnya, Aqeef Anaqi, 7 bulan, Amyra memilih untuk berehat sepanjang bulan Ramadan.

Bukan menolak rezeki, namun komitmennya terhadap keluarga mengatasi segalanya termasuklah tawaran lakonan.

“Saya baru selesai menjalani penggambaran drama rantaian Nur pada 8 Mei lalu dan kini sedang ditayangkan di slot Samarinda di TV3. Oleh itu, saya memilih untuk berehat pada bulan Ramadan untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan fokus terhadap ibadah.

“Sepanjang terlibat dalam drama Nur, masa saya dengan anak agak terbatas. Jadi, saya mengambil peluang bulan Ramadan untuk berehat sebentar sebelum kembali bekerja selepas sambutan Aidilfitri,” ujar Amyra.

Sungguhpun begitu, Amyra yang juga isteri kepada pelakon Amar Baharin itu masih terlibat dengan beberapa program promosi sementelah dia sekeluarga dilantik sebagai duta Terima Kasih yang merupakan kempen Ramadan TV3. Selain itu Amyra juga dilantik sebagai duta Primavalet Raya 2018 dan Anggun Life.

“Saya menerima tawaran sebagai duta kempen pada bulan Ramadan kerana ia memberi peluang untuk terlibat dalam program amal. Biasanya penganjur kempen akan melakukan banyak program amal sempena bulan Ramadan, sebagai duta secara tidak langsung saya turut terlibat.

“Jika saya mahu melakukan program amal sendiri rasanya tidak terbuat kerana tiada masa. Namun, menerusi kempen Ramadan seperti ini saya gembira kerana dapat turut serta dengan kebanyakan program amal yang dianjurkan.

“Lagipun kita digalakkan untuk banyak bersedekah dan beramal pada bulan Ramadan, jadi kempen seperti ini amat sesuai dengan fokus saya pada bulan Ramadan,” kata Amyra.

Sudah menjadi satu kelaziman, setiap kali tibanya bulan 
Ramadan, kebanyakan selebriti mengambil kesempatan untuk berehat daripada aktiviti seni bagi memberi tumpuan kepada ibadah. Namun, ada juga antara mereka menggunakan kemurahan rezeki pada bulan mulia ini untuk bekerja lebih keras tanpa mengabaikan pencarian pahala menerusi ibadah dan sedekah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini