Petronas tidak dibenar mulakan petisyen - Utusan Malaysia

Petronas tidak dibenar mulakan petisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Jun – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebentar tadi gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan pendengaran petisyen bagi mendapat perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum  (PDA) 1974, terpakai bagi mengawal selia industri petroleum di Malaysia, termasuk Sarawak.

Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop selepas menolak permohonan syarikat minyak nasional itu yang dikemukakan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Ahmad berpuas hati bahawa perisytiharan yang dimohon oleh Petronas tidak tertakluk di bawah ruang lingkup dan bidang kuasa asal Mahkamah Persekutuan.

Petronas selaku pemohon diwakili oleh peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Sarawak selaku responden diwakili oleh Peguam Negeri Sarawak, Datuk Seri J.C. Fong. 

Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan petisyen bagi mendapat perisytiharan bahawa syarikat itu memiliki kuasa eksklusif untuk mengawal selia aktiviti huluan dalam industri minyak dan gas di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

Petronas memohon penjelasan berhubung hak dan kedudukannya dalam pengendalian industri minyak dan gas seperti yang termaktub di bawah PDA yang merupakan undang-undang Persekutuan.

PDA yang digubal di Parlimen menyatakan, Petronas selaku syarikat minyak nasional mempunyai kawalan dan pemilikan eksklusif bagi industri minyak dan gas di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN