Petani beri hadiah bom kepada cucu - Utusan Malaysia

Petani beri hadiah bom kepada cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING – Seorang petani secara tidak sengaja memberi ha­diah sebutir bom yang dianggap sebagai ‘alat permainan’ kepada cucu lelakinya selepas ia ditemui berhampiran rumahnya baru-baru ini.

Shui Huainian berkata, dia menjalankan kerja-kerja menggemburkan tanah berhampiran rumahnya yang terletak di Huai’an, daerah Lianshui, wilayah Jiangsu dekat sini pada 19 Jun lalu.

Dia kemudian menemui sejenis logam berbentuk panjang yang di­sangka alat permainan zaman lama menyebabkannya memberi objek itu kepada cucunya tanpa mengetahui bahawa ia sebenarnya ialah sebutir bom.

“Pada mulanya, saya menyangka ia seketul batu tetapi bentuknya kelihatan seperti alat mainan kerana mempunyai sayap di belakangnya menyebabkan saya memberinya kepada cucu saya,” katanya.

Bagaimanapun, perkara itu hanya disedari selepas beberapa jiran-jirannya melihat kanak-kanak berkenaan memegang bom yang dipercayai boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.

Mereka kemudian segera menghubungi pasukan polis yang tiba di rumah Huainian dengan pasukan pakar pemusnah bom dan menutup kawasan perkarangan rumahnya.

Pakar pemusnah bom mengesahkan ia sejenis mortar ringan dan ia berjaya dikendalikan dengan selamat, manakala Huainian dan cucunya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. – Agensi

Logam berbentuk panjang yang ditemui disangka alat permainan zaman lama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN