KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM500,000 untuk membaik pulih dua blok bangunan termasuk 10 bilik darjah dan makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai di sini yang rosak kerana di pukul ribut baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohd. Gazali Abas berkata, terdapat banyak kerosakan yang berlaku antaranya bumbung sekolah yang tercabut dilanda angin kencang.
“Sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan kerajaan bagi proses pembaikan dan menaik taraf kerosakan yang berlaku untuk memastikan blok bangunan berkenaan kembali selamat untuk digunakan pihak sekolah.
“Pemantauan awal akan dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan selama dua minggu dan diikuti pembaikan sepenuhnya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya pada sidang media di SMK Seri Pantai di sini semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil, Penasihat Khas KPM, Wan Saiful Wan Jan dan Pengetua SMK Seri Pantai, Wan Mohd Zaidi Wan Mahmood.










