KAZAN – Kemenangan 2-1 ke atas Australia pada aksi Kumpulan C Piala Dunia 2018 di Kazan Arena kelmarin masih belum cukup untuk memuaskan hati jurulatih Perancis, Didier Deschamps.
Beliau mengakui anak-anak buahnya harus menampilkan aksi lebih baik, lebih-lebih lagi apabila mereka memenangi perlawanan tersebut menerusi teknologi bantuan pengadil.
Walaupun belum berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan, namun Deschamps tetap gembira apabila mereka berjaya meraih tiga mata pada perlawanan pertama tersebut.
“Ia bukannya satu perlawanan yang mudah bagi kami. Bagaimanapun, memenangi perlawanan pertama pada Piala Dunia merupakan sesuatu yang berharga serta satu permulaan baik untuk kami.
“Aksi hari ini (kelmarin) cukup sukar, ditambah pula bertemu sebuah pasukan yang mampu memberikan tekanan ke atas kami. Walaupun sedikit kecewa, namun tiga mata merupakan sesuatu yang sangat penting,” kata Deschamps.
Pada masa sama, juara Piala Dunia 1998 itu menegaskan, Les Bleus seolah-olah masih belum mampu bermain dengan corak permainan pantas seperti yang dimahukan olehnya.
“Sukar untuk saya memberikan penjelasan yang terperinci. Perancis seolah-olah kekurangan sesuatu hingga menyebabkan kami gagal bermain dengan tempo lebih pantas. Mungkin kami sudah selesaikan tugas tetapi ia bukanlah yang terbaik,” ujarnya. – Agensi










