KUALA LUMPUR 26 Jun – Seorang peniaga air dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki harta curi iaitu motosikal kepunyaan seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jumaat lalu.
Majistret Namirah Hanum Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas Suhaimi Ismail Mufit, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Dia didakwa dengan niat curang memiliki sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik berwarna kuning bernilai RM3,000 milik Mohd. Fitri Sharuddin, 33, di tepi jalan, Jalan Pantai Permai, Brickfields, di sini kira-kira pukul 11.20 pagi, 22 Jun lalu.
Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan ini adalah kesalahan pertamanya sementara Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada hari kejadian. – UTUSAN ONLINE










