Pengeluar automotif beri amaran - Utusan Malaysia

Pengeluar automotif beri amaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Dua kumpulan perniagaan automotif utama memberi amaran kepada pentadbiran Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin bahawa pelaksanaan tarif sehingga 25 peratus ke atas kereta import akan me­ngakibatkan beratus-ratus ribu orang hilang pekerjaan dan harga ken­deraan naik mendadak.

Sebuah gabungan mewakili pengeluar ken­deraan asing utama termasuk Toyota Motor Corp, Volkswagen AG, BMW AG dan Hyundai Motor Co menyatakan, tarif atau cukai import tersebut akan menjejaskan pengeluar kereta dan pengguna di AS.

Whites House melakukan siasatan pada Mei lalu untuk menentukan sama ada kenderaan import mengancam keselamatan negara, manakala Trump pula berulang kali mengugut untuk segera melaksanakan tarif automotif.

“Ancaman terbesar terhadap industri automotif AS pada masa ini adalah kemungkinan pentadbiran Trump mengenakan duti import susulan siasatan tersebut,” demikian menurut kenyataan gabungan berkenaan, Persatuan Pengeluar Kenderaan Glo­bal yang mewakili pengilang automotif asing utama.

“Tarif itu akan meningkatkan harga kepada pengguna, mengecilkan pilihan mereka selain menjejaskan jualan dan pengeluaran ken­deraan di AS,” tambah kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan sama, langkah itu bukan sahaja gagal menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat AS, malah, ia dikhuatiri akan mengakibatkan ratusan ribu pekerja sektor automotif tempatan termasuk trak dan alat ganti hilang pekerjaan.

Pada Jumaat lalu, Trump mengancam untuk me­ngenakan tarif sebanyak 20 peratus ke atas semua kenderaan import yang dipasang di Kesatuan Eropah. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN