Pencuri kabel miliki senjata api buatan sendiri - Utusan Malaysia

Pencuri kabel miliki senjata api buatan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU 7 Jun – Penahanan seorang lelaki yang dipercayai aktif dalam kegiatan curi kabel akhirnya membawa kepada penemuan tiga laras senapang buatan sendiri termasuk jenis bakakuk di sebuah rumah di Kampung Keliatan, Jalan Tengah Nipah, di sini Selasa lalu.

Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah daerah menerusi Op Cantas turut merampas beberapa tembaga dipercayai hasil kegiatan curi kabel pelbagai saiz berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati tembaga pelbagai saiz bernilai RM200,000 disyaki dicuri di lima unit pencawang milik Kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) di Jalan Tengah Nipah, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan lanjut, polis merampas dua gegelung tembaga, satu batang rod tembaga, tiga besi tembaga pelbagai saiz, 13 besi penyambung dan dua unit rotor dinamo.

“Dalam serbuan itu juga, kami merampas sepucuk senapang buatan sendiri jenis bakakuk, dua senapang angin berserta tujuh peluru tabur dan 10 kelongsong peluru tabur,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Hamzah menambah, hasil soal siasat, suspek warga tempatan berusia 48 tahun itu mendakwa menggunakan senapang berkenaan untuk kegunaan sendiri.

“Suspek dan semua rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini